TAMPIN: Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) memperuntukkan lebih RM1.5 juta bagi memberi manfaat kepada kira-kira 25,000 kanak-kanak sekolah rendah di seluruh negara.

Program ‘Kembali Ke Sekolah' yang memasuki penganjuran kali keenam itu bertujuan untuk membantu meringankan beban keluarga yang kurang berkemampuan.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia merangkap Presiden, RMHC Malaysia, Datuk Azmir Jaafar, berkata agihan berupa pek barangan persekolahan itu akan diagihkan secara berperingkat sebelum sesi pembelajaran bermula penghujung Mac ini.

“Jadi untuk tahun 2023 ini merupakan penganjuran kami kali keenam dan kita telah mendapat sumbangan RM1.5 juta daripada pelanggan, pekerja, francais serta pembekal sendiri yang mana daripada jumlah itu sebanyak 25,000 pek ‘Kembali Ke Sekolah' dapat diperuntukkan ke seluruh negara.

“Untuk hari ini kita sumbangkan 260 pek kepada kanak-kanak di Sekolah Kebangsaan (SK) (FELDA) Pasir Besar di Gemas ini, dan keseluruhan bagi daerah Tampin sahaja sebanyak 500 pek akan diagihkan bagi sesi persekolahan kali ini,” katanya ketika ditemui di sini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan 260 pek ‘Kembali Ke Sekolah’ yang bernilai RM26,000 kepada kanak-kanak di SK (FELDA) Pasir Besar, Gemas di sini pada Rabu yang turut disaksikan oleh Pengerusi FELDA Tan Sri Idris Jusoh.



Pada program itu, Azmir yang juga Presiden RMHC Malaysia turut menyalurkan dana peribadi RM15,000 menerusi Yayasan Jaafar Ahmad bagi Program ‘Felda Digital Maker Hub (FDMH): Coding & Robotic’ kepada sekolah berkenaan.

Sumbangan itu bagi membolehkan sekolah itu menubuhkan Kelab Pengekodan dan Robotik di bawah program Felda Digital Maker Hub yang bertujuan untuk mentransformasi pendidikan digital di sekolah-sekolah FELDA.

Mengulas mengenai Yayasan itu ujar Azmir, ia ditubuhkan sempena nama bapanya yang juga seorang peneroka FELDA di Pasir Besar di sini.

Ujarnya, ianya bertujuan membantu golongan yang memerlukan di sekitar Negeri Sembilan melalui inisiatif bermanfaat dalam meringankan beban mereka yang memerlukan.

“Sumbangan yang disalurkan semua ini sudah pasti mampu menyuntik semangat untuk anak-anak cilik FELDA di kawasan ini dan sekali gus membolehkan mereka menjadi insan yang berjaya di masa hadapan,” tambahnya.

Tambah beliau, lebih 100,000 pek ‘Kembali Ke Sekolah' dengan jumlah keseluruhan sekitar RM7 juta telah diagihkan RMHC Malaysia sejak enam tahun lalu dalam memberi sinar kepada kanak-kanak kurang berkemampuan dari sekolah di bandar mahupun di kawasan kampung.