JEMPOL: Kerajaan akan mengemukakan cadangan pembinaan Lebuhraya Madani Seremban-Jempol pada pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), bulan hadapan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kelulusan projek yang bakal memberi manfaat kepada masyarakat Felda dan rakyat secara amnya itu bagaimanapun bergantung kepada keupayaan ekonomi negara dalam tempoh setahun ini.

“Lebuhraya Madani Seremban-Jempol ini tidak termasuk dalam RMK12... bulan hadapan kita akan bentangkan (cadangan) ini dalam Kajian Separuh Penggal RMK12.

“Dalam tempoh setahun kalau ekonomi kita meningkat daripada sekarang ini, insya-Allah kita akan bina lebuh raya ini,” katanya ketika berucap Karnival Segalanya Felda di Dataran Seri Jempol.

Hadir sama Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dan Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shaberry Cheek.

Mengulas lanjut Anwar berkata, beliau memahami pembinaan lebuh raya itu akan mengangkat taraf kehidupan rakyat dengan penambahbaikan fasiliti yang akan menjimatkan masa perjalanan.

Bagaimanapun katanya, projek itu memerlukan kos yang tinggi.

“Lebuh raya ini mahal, tetapi saya faham ia akan membantu mengangkat taraf hidup rakyat. Insya-Allah ia akan diluluskan,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan peruntukan RM550,000 setiap tahun bagi kos operasi 2,678 lampu jalan di Felda Wilayah Raja Alias di Jempol yang mempunyai 49 tanah rancangan Felda.

“Saya bukan nak tambah tiga (sahaja) lampu jalan di Felda ini, saya sediakan 2,678 lampu jalan dan setiap tahun kos operasinya RM 550,000,” katanya.