MALAYSIA
RMK13 beri fokus pembangunan menyeluruh infrastruktur Sarawak - Nanta

Nanta berkata, KKR memikul tanggungjawab besar dalam melaksanakan pembangunan infrastruktur kerana tanpa kemudahan termasuk jalan yang baik, sukar untuk menyampaikan perkhidmatan lain seperti pendidikan, kesihatan dan keselamatan. - Gambar/ Bernama
KUCHING: Dokumen Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini memberikan fokus menyeluruh kepada pembangunan infrastruktur negara termasuk di Sarawak.
Ringkasan AI
- Kementerian Kerja Raya memainkan peranan penting dalam pembangunan infrastruktur negara di bawah RMK13, termasuk projek jalan raya di kawasan luar bandar Sarawak seperti laluan Nanga Serau ke Nanga Seranau sepanjang 70 kilometer yang masih dalam peringkat kerja awalan.
- Projek Lebuhraya Trans Borneo Sarawak yang merupakan lanjutan kepada Pan Borneo akan dilaksanakan dalam tiga fasa dari Tudan ke Kuala Baram hingga ke Limbang, tanpa melalui Brunei, bagi meningkatkan keterhubungan dan pembangunan ekonomi di utara Sarawak.
- Menteri Kerja Raya menegaskan kepentingan kerjasama antara agensi seperti JKR dan Kementerian Pendidikan dalam memastikan projek infrastruktur seperti sekolah disiapkan mengikut jadual dan spesifikasi, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk memberikan nilai tambah kepada rakyat.
"Inilah bentuk kerjasama antara agensi kerajaan yang perlu diteruskan demi manfaat rakyat," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Siap di Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang, di sini hari ini.
Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit berkata berkenaan dengan projek di kawasan Sungai Batang Rajang yang dimasukkan dalam RMK13 melibatkan pembinaan jalan utama Nanga Serau ke Nanga Seranau, projek itu masih dalam kerja-kerja awalan dan belum ada tarikh pelaksanaan yang boleh diumumkan.
"Panjang jalan ini dianggarkan kira-kira 70 kilometer dan bakal memberikan manfaat kepada ribuan penduduk termasuk di kampung, rumah panjang, sekolah dan klinik," katanya.
Bagi projek lebuh raya Trans Borneo Sarawak, Nanta berkata projek itu melibatkan tiga fasa bermula dari Tudan ke Kuala Baram di Bahagian Miri berhampiran Pos Imigresen Sempadan Malaysia-Brunei, sebelum berakhir di Bahagian Limbang tanpa memasuki Brunei.
"Projek ini ialah lanjutan kepada Pan Borneo dan akan memberikan impak besar, khususnya kepada pembangunan ekonomi dan keterhubungan kawasan seperti Limbang yang merupakan bandar utama di utara Sarawak," katanya.
Terdahulu, ketika berucap pada majlis itu, beliau berkata JKR akan terus memantau setiap aspek penyelenggaraan pascapenyerahan bagi memastikan keseluruhan projek berfungsi dengan baik dan memenuhi spesifikasi yang ditetapkan.
"Kejayaan menyiapkan dan menyerahkan dua lagi projek mengikut jadual pada hari ini membuktikan bahawa aspirasi Kerajaan MADANI bukan sekadar retorik, tetapi diterjemahkan dalam realiti melalui projek yang berkualiti, siap tepat pada masanya dan memberikan nilai tambah kepada masyarakat," katanya.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami