NATIONAL
Roger Ng beritahu mahkamah dia kenal Jho Low sejak penubuhan TIA pada 2009

Roger Ng memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa dia mengenali Jho Low semasa penubuhan Terengganu Investment Authority pada 2009, yang kemudiannya dinamakan semula sebagai 1MDB. -Gambar fail/AP
PUTRAJAYA: Bekas pegawai bank Goldman Sachs Roger Ng Chong Wa memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa dia mengenali ahli perniagaan yang dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, semasa penubuhan Terengganu Investment Authority (TIA) pada 2009, yang kemudiannya dinamakan semula sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ringkasan AI
- Roger Ng Chong Wa mengenali Jho Low semasa penubuhan Terengganu Investment Authority (TIA) pada 2009, yang kemudian dinamakan semula sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
- Ng disabitkan kesalahan di New York pada 2013 kerana membantu dalam penyelewengan dana 1MDB dan dijatuhi hukuman penjara 10 tahun.
- Pada 30 Okt 2024, Sequerah memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Najib dan memerintahkan beliau untuk membela diri atas 25 pertuduhan termasuk rasuah dan pengubahan wang haram.
Muhammad Shafee: Bolehkah dikatakan bahawa Jho Low adalah orang yang mendekati anda untuk berhubung dengan Goldman Sachs?
Ng: Bagi proses penerimaan pelanggan di Goldman Sachs, sepanjang ingatan saya kami biasanya terlibat dengan pelanggan berpotensi. Saya boleh katakan bahawa kami sentiasa mencari pelanggan berpotensi. Saya tidak ingat siapa yang mendekati siapa dahulu, tetapi secara umum, ia adalah proses bersama.
Ng yang memberi keterangan sebagai saksi pembelaan ke-25 turut memberitahu mahkamah bahawa bekas pegawai atasannya Tim Leissner, telah didakwa dan mengaku bersalah berhubung transaksi berkaitan 1MDB. Bagaimanapun Jho Low didakwa tanpa kehadirannya (in absentia).
Muhammad Shafee: Adakah anda atau sesiapa di antara pihak anda, didakwa bersubahat dengan Datuk Seri Najib dalam kes itu?
Ng menjawab: "Saya rasa tidak".
Pada 30 Okt 2024, Sequerah memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Najib dan memerintahkan beliau untuk membela diri.
Najib, 71, berdepan dengan 25 pertuduhan secara keseluruhan, termasuk empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan bagi menerima rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB, serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami