Skip to main content

Malaysia

Rogol dan samun: Remaja dipukul guna kayu oleh lelaki tidak dikenali - Polis

Mangsa ditemui oleh orang awam di kawasan semak berhampiran tali air kira-kira jam 11 pagi sebelum dimaklumkan kepada bapanya yang sedang mencari gadis terbabit selepas remaja itu tidak pulang ke rumah sejak keluar beriadah pada jam 7 pagi.
Seorang bapa melalui detik menyayat hati apabila menemukan anak perempuannya dalam keadaan separuh sedar dengan kecederaan parah pada muka, kepala dan badan selepas dipercayai dipukul menggunakan kayu sebelum dirogol oleh lelaki tidak dikenali di Palekbang pada Rabu. - Sinar Harian
Advertisement

TUMPAT: Seorang bapa melalui detik menyayat hati apabila menemukan anak perempuannya dalam keadaan separuh sedar dengan kecederaan parah pada muka, kepala dan badan selepas dipercayai dipukul menggunakan kayu sebelum dirogol oleh lelaki tidak dikenali di Palekbang di sini pada Rabu.

Mangsa,15, mulanya ditemui oleh orang awam di kawasan semak berhampiran tali air kira-kira jam 11 pagi sebelum dimaklumkan kepada bapanya, 50, yang sedang mencari gadis terbabit selepas remaja itu tidak pulang ke rumah sejak keluar beriadah pada jam 7 pagi.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dipukul di bahagian muka dan kepala menggunakan sebatang kayu oleh suspek.

“Mangsa turut dipercayai dirogol di lokasi dia dipukul selain telefon bimbitnya dilarikan suspek.

“Mangsa dibawa ke Hospital Tumpat untuk rawatan awal sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu bagi mendapatkan rawatan lanjut daripada pakar,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, media melaporkan, seorang remaja berusia 15 tahun berdepan detik hitam apabila dipercayai menjadi mangsa samun dan rogol ketika keluar berjoging bersama adik lelakinya yang berusia 10 tahun pada cuti Awal Muharram.

Remaja itu terpisah dengan adiknya dan disangkakan sudah pulang ke rumah.

Mohd Khairi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun hingga menyebabkan kecederaan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat, Inspektor Zulazri di talian 011-11486922">011-11486922 bagi membantu siasatan.

 

-- Sinar Harian

Must Watch Video

Advertisement