KUCHING: Parti Bangsa Malaysia (PBM) pada Jumaat mengesahkan akan bertanding sekurang-kurangnya tiga kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Presidennya, Datuk Larry Sng Wei Shien berkata parti itu akan menurunkan Diog Dios di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambong dan John Linang Mereejon di DUN Batang Ai.
Pada Khamis, Larry mengumumkan bertanding di DUN Pelagus yang pernah diwakilinya selama dua penggal.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 2022, Diog bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Puncak Borneo, namun tewas kepada calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Willie Mongin, dengan majoriti 13,338 undi.
Pada PRN Sarawak kali ini, beliau dijangka berdepan saingan empat penjuru apabila Parti Bangsa Dayak Sarawak (PBDS) meletakkan calon veteran, Sanjan Daik, Parti Bumi Kenyalang (PBK) mempertaruhkan Rangen Jamang, manakala GPS mengekalkan penyandangnya, Datuk Jerip Susil.
DUN Mambong mempunyai 35,592 pemilih berdaftar, termasuk 821 pengundi awal yang terdiri daripada pegawai dan anggota polis.
Sementara itu, John Linang pernah bertanding sebagai calon Bebas di DUN Batang Ai pada PRN Sarawak 2021.
Beliau akan kembali mencabar penyandang, Datuk Malcolm Mussen Lamoh daripada GPS, yang menewaskannya dalam pilihan raya tersebut dengan majoriti 738 undi.
DUN Batang Ai memiliki 15,166 pemilih berdaftar dengan 100 daripadanya merupakan anggota polis dan pasangan.
Untuk rekod, PBM tidak bertanding dalam PRN Sarawak ke-12 pada 18 Disember 2021, sebaliknya mengisytiharkan sokongan kepada GPS dan kepimpinan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.