PUTRAJAYA: Jemaah Menteri hari ini bersetuju memperluas 17 inisiatif keselamatan yang dilaksanakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) kepada Kementerian Pertahanan (Mindef), termasuk membabitkan pangkalan udara bagi memperketat kawalan keselamatan.
Jurucakap Kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu susulan kes tangkapan sejumlah anggota dan pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berkaitan kegiatan dadah, baru-baru ini.
“Tujuh belas inisiatif itu dilihat memberi kesan yang baik terutama untuk mengesan pihak-pihak yang ingin menyalahgunakan saluran ataupun laluan tersebut.
“Namun, ia tidak termasuk pangkalan-pangkalan udara dan juga fasiliti-fasiliti atau premis-premis yang diselenggara dan diuruskan di bawah pentadbiran MINDEF,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
Mengulas tempoh pelaksanaan inisiatif itu, beliau berkata kerjasama antara KDN, MOT dan Mindef perlu dilaksanakan segera bagi menutup kelompangan keselamatan yang wujud.
Jelas Menteri Komunikasi itu lagi, siasatan terhadap kes membabitkan pegawai dan anggota TUDM yang ditahan mendapati kegiatan berkenaan dipercayai telah berlaku sejak 2024.
“Semestinya ia satu perkara yang sangat mustahak kerana dalam kes yang melibatkan pegawai dan anggota TUDM yang telah diberkas, sewaktu proses siasatan, diketahui bahawa kegiatan itu telah berlaku sejak 2024.
“Bagi pihak kerajaan, semestinya kita perlu memastikan aset-aset ketenteraan yang tujuannya adalah untuk pertahanan negara kita tidak disalahgunakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dan berniat jahat seperti ini.
“Kelompangan ini perlu ditutup segera," katanya.
Media sebelum melaporkan seramai 11 suspek ditahan di sekitar Lembah Klang dan Labuan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran 96.64 kilogram dadah menggunakan aset TUDM.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada lima pegawai TUDM dan enam orang awam susulan penemuan dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM4.83 juta.
Terdahulu hari ini, tiga pegawai TUDM antara enam yang didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam atas pertuduhan mengedar dadah jenis syabu seberat 96.2 kilogram.