Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) telah menghantar notis kepada tiga pertubuhan untuk hadir ke jabatan itu untuk memberi keterangan berkaitan penglibatan pertubuhan itu yang disyaki menghadiri Majlis Peringatan Perjanjian Damai Hatyai Anjuran Parti Komunis Malaya yang telah diadakan pada 1 Disember lalu di Kajang, Selangor.

Ia susulan maklumat yang diterima jabatan itu daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai sembilan buah pertubuhan yang disyaki menghadiri majlis terbabit.

Menurut kenyataan itu, sebagai sebuah jabatan yang menguatkuasakan Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335), adalah menjadi tanggungjawab jabatan itu untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pertubuhan yang melanggar Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335).

“Daripada sembilan pertubuhan yang disyaki, JPPM telah mengenal pasti tiga pertubuhan yang berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335).

“Bagi tujuan tersebut, JPPM telah mengambil tindakan dengan mengeluarkan notis di bawah Seksyen 66, Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) supaya ahli jawatankuasa pertubuhan tersebut hadir ke jabatan untuk memberi keterangan berkaitan penglibatan pertubuhan dalam majlis peringatan tersebut,” menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini.


Manakala enam lagi pertubuhan yang turut dikenal pasti terlibat dalam majlis peringatan tersebut adalah pertubuhan yang tidak berdaftar dan disifatkan sebagai “Pertubuhan Yang Menyalahi Undang-Undang”di bawah Seksyen 41(1)(b), Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335).

“Di bawah Seksyen 43 Akta yang sama menyatakan bahawa mana-mana orang yang didapati menjadi anggota sesuatu pertubuhan yang menyalahi undang-undang adalah melakukan suatu kesalahan yang sekiranya disabitkan boleh dijatuhkan hukuman penjara,” menurut kenyataan itu lagi.

Justeru RoS mengingatkan bahawa setiap pertubuhan berdaftar hendaklah menjalankan aktiviti dan urusan-urusannya mengikutperuntukan perlembagaan berdaftarnya serta Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335).