Skip to main content

Malaysia

Rosmah jatuh, rayuan singkir hakim ditangguh

71738575601_RosmahMansor.jpg
Mahkamah Tinggi membenarkan Rosmah menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan. - Gambar fail

PUTRAJAYA: Prosiding rayuan Datin Seri Rosmah Mansor untuk menyingkirkan Hakim, Datuk Mohamed Zaini Mazlan (kini Hakim Mahkamah Rayuan) ditangguhkan selepas isteri bekas Perdana Menteri itu mengalami kecederaan di tangan dan lutut akibat terjatuh.

Mohamed Zaini sebelum ini, sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhi Rosmah, 75, hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta atas tiga kes rasuah bagi projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Advertisement

Semasa prosiding di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Datuk Nordin Hassan, peguam, Datuk Jagjit Singh berkata, akibat insiden itu Rosmah telah diberi cuti sakit.

“Anak guam cedera kerana terjatuh di rumah, namun beliau berjaya mengelakkan daripada terjatuh sepenuhnya, menyebabkan kecederaan pada anggota badan tersebut.

“Walaupun telah dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan di wad, beliau enggan dan hanya mahu berehat di rumah,” kata peguam itu.

Nordin yang bersidang bersama Hakim, Datuk Che Ruzima Ghazali dan Datuk Azimah Omar menetapkan pendengaran rayuan itu pada 3 Mac depan.

Selepas prosiding, ketika ditemui pemberita, Jagjit mengesahkan bahawa Rosmah mengalami kecederaan pada Isnin lalu.

“Susulan itu, anak guam diberi sijil cuti sakit bermula Selasa hingga Sabtu ini,” katanya yang hadir bersama peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader.

Sementara itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mangaiarkarasi Krishnan.

Pada 1 September 2022, Mohamed Zaini memutuskan bahawa Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan berkenaan dan mengenakan hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, hukuman itu berjalan serentak, bermakna beliau hanya akan menjalani hukuman penjara selama 10 tahun.

Beliau juga didenda RM970 juta dan, jika gagal membayar denda itu, boleh dihukum penjara selama 30 tahun.

Rosmah didakwa atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan Rosmah menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.

Sebelum keputusan berkenaan diputuskan, Rosmah memfailkan permohonan menyingkirkan hakim itu dengan alasan meragui integriti Mohamed Zaini selepas insiden kebocoran dokumen penghakiman yang disiarkan oleh sebuah portal berita. - Sinar Harian

 

Must Watch Video