SHAH ALAM: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melantik pelakon terkenal dan usahawan berjaya, Datuk Rosyam Nor sebagai Duta Keusahawanan PKNS, berkuat kuasa 1 Dis 2023.

Surat lantikan sebagai Duta Keusahawanan PKNS itu disampaikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Korporat) PKNS, Suhaimi Kasdon di Bangunan Ibu Pejabat PKNS, di sini, hari ini.

Suhaimi berkata, pemilihan pelakon itu bukan sahaja kerana namanya yang besar dalam industri hiburan tetapi juga kerana pengalaman luas beliau selama hampir 20 tahun dalam bidang keusahawanan sebagai penerbit filem agro serta peruncitan.

"Pelantikan beliau sebagai jurucakap dilihat mampu memberi impak yang lebih baik bagi mempromosikan aktiviti-aktiviti keusahawanan yang dijalankan oleh Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU) kepada usahawan di seluruh negara khususnya di Selangor.

"Memandangkan penggunaan media sosial sangat aktif dalam kalangan masyarakat kini, peranan duta keusahawanan ini menjadi penarik khalayak kepada pengikut beliau, di samping membuat hebahan mengenai program-program anjuran BPU menerusi platform hebahan sedia ada iaitu surat khabar, radio, risalah, taklimat fizikal malah di semua peringkat platform digital," katanya dalam majlis penyerahan surat lantikan itu hari ini.

Suhaimi berkata, pelantikan duta tersebut juga sebagai simbolik bagi pihak PKNS menerusi BPU untuk terus merangka aktiviti untuk usahawan seluruh negara, bagi membantu mereka mengembangkan perniagaan masing-masing.

"Pelbagai program baharu bakal dirangka di samping penambahbaikan program sedia ada bagi tujuan memastikan kesemua inisiatif yang dilaksanakan mampu memenuhi kehendak usahawan pada masa kini, demi mewujudkan masyarakat yang berdaya maju, berdaya saing dan berdaya tahan," katanya.

Sementara itu, Rosyam Nor menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak PKNS atas kesudian melantiknya sebagai duta dan akan berusaha bersama perbadanan itu dalam memainkan peranan penting untuk mewujudkan ekosistem keusahawan yang holistik dan lestari dalam pembangunan sektor keusahawanan khususnya di Selangor.

"Dengan pelantikan saya mereka boleh menjadikan saya sebagai contoh kerana saya juga berasal daripada bukan keluarga yang senang, tetapi melangkah sebagai seorang usahawan bermula sebagai seorang pelakon.

"Saya harap pengalaman saya ini akan menjadi titik tolak kepada usahawan PKNS serta yang lain di luar sana untuk melihat kalau inginkan kejayaan itu, tidak ada halangan kerana mereka (PKNS) sentiasa membantu usahawan untuk berjaya menerusi program dan seminar yang dilaksanakan," katanya. - BERNAMA