PARIS: Reporters Without Borders (RSF) mengesahkan pembunuhan wartawan visual Reuters, Issam Abdallah di Lubnan pada 13 Oktober lalu berpunca daripada serangan yang disasarkan dari arah sempadan Israel.

Dalam satu kenyataan, RSF berkata, ia berdasarkan analisis balistik yang dijalankan oleh agensi itu di mana tembakan datang dari timur lokasi wartawan itu berdiri, iaitu dari arah sempadan Israel.

Katanya, dua serangan di lokasi dan arah sama dalam masa yang singkat, jelas menunjukkan wartawan itu sememangnya disasarkan.

Tentera Israel berkata, pihaknya tidak sengaja menyasarkan wartawan dan sedang menyiasat insiden 13 Oktober itu.

Reuters telah meminta pasukan pertahanan Israel untuk mengulas mengenai laporan RSF.