Bukan mudah bintang ini mahu membuka pintu rumahnya untuk sesi fotografi malah InTrend adalah satu-satunya majalah yang berpeluang merakam sudut terbaik di kediamannya. Terletak di tengah ibu kota yang rata-ratanya dikelilingi hutan konkrit, kondominium menjadi pilihan bintang filem Perempuan, Isteri dan...
Pesona Datin Sofea Jane tidak pernah padam malah jelas terpancar di wajahnya kala melihat dia bersedia untuk beraksi di hadapan lensa kamera.
Khas-Deko(nov14).jpg
"Aura karakternya sungguh kuat, " desis hati kecil saya. Auranya itu seakan memanggil untuk mata ini terus tertumpu ke arahnya tatkala memberikan posisi terbaik bagi setiap foto. Punya nama besar dalam industri seni malah dia adalah antara anak seni yang lantang memperjuangkan hala tuju seni lakon layar. Masih aktif dalam kerjaya seni baik filem dan teater, namun penglibatannya lebih selektif dalam pemilihan watak dan karakter yang ditonjolkan. Terkini Datin Sofea Jane bakal muncul dalam filem genre sejarah, Hanyut yang antaranya menampilkan lakonan mantap barisan pelakon seperti Peter O'brien, Khalid Salleh, Adi Putra, Diana Danielle, Alex Komang dan Bront Palarae.

Dalam pada itu, Datin Sofea Jane turut menyumbangkan buah fikirannya menerusi beberapa nukilan untuk penerbitan digital. Terbukti hasil tulisan dan olahannya masih meninggalkan kesan di hati sesiapa jua yang mengungguli jiwa seni empunya nama Sofea Jane. Dan menyingkap prinsip kediamannya, Datin Sofea Jane mementingkan privasi khusus buat diri dan keluarga. Dan melihat kepada elemen privasi itu, ia disempurnakan menerusi cetusan idea dan dekorasi tersendiri dalam kondominium yang didiami sejak tiga tahun lalu.

Saat kaki melangkah masuk ke kondominium berkeluasan 3,719 kaki persegi ini, saya rumuskan bintang ini punya personaliti yang ringkas. Melihat almari dan perabot-perabot lain yang berasaskan kayu juga koleksi lukisan umpama melangkahkan kaki ke sebuah galeri kecil. “Saya bukanlah complicated orangnya jauh sekali arif dalam soal menghias rumah. Apa yang anda lihat ini itulah saya. Saya lebih menyenangi yang ringkas,” jelasnya.

Memilih kondominium sebagai kediaman sekeluarga kerana ia lebih selamat, ujar Datin Sofea Jane, “Kami sekeluarga pernah tinggal di landed property tetapi memandangkan suami saya sering keluar daerah lantas hanya saya dan anak-anak sahaja di rumah, maka kami putuskan untuk tinggal di kondominium sahaja,” ulasnya yang memilih kondominium kerana nilai privasi.

Dapatkan Majalah InTrend Edisi November untuk cerita lebih lanjut