Ringkasan AI
- ARMADA Bersatu Malaysia menegaskan bahawa Akta Pembangunan Petroleum 1974 memberikan hak eksklusif kepada Petronas untuk mengawal selia aktiviti petroleum, termasuk di Sarawak, tanpa memerlukan lesen atau permit daripada kerajaan negeri.
- Kerajaan Negeri Sarawak mendakwa Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) melanggar Ordinan Pengagihan Gas 2016, mengeluarkan notis 21 hari untuk memohon lesen yang diperlukan, dengan kegagalan mematuhi boleh membawa kepada denda.
- ARMADA Bersatu Malaysia mengkritik kelemahan Kerajaan Persekutuan dalam menangani isu ini, menyeru semua pihak untuk menghormati semangat Persekutuan bagi kepentingan bersama rakyat Malaysia.
Pengarah Jabatan Komunikasi & Media Baharu, Exco ARMADA Bersatu Malaysia Na’im Brundage berkata, Akta Pembangunan Petroleum 1974 jelas memberikan hak eksklusif kepada Petronas untuk mengawal selia semua aktiviti berkaitan petroleum di Malaysia, termasuk di negeri Sarawak.
Berdasarkan fakta tersebut, beliau berkata, Petronas tidak sepatutnya memerlukan sebarang lesen atau permit daripada Kerajaan Negeri Sarawak untuk menjalankan sebarang operasi yang membabitkan petroleum di wilayah itu.
“Kami ingin mengingatkan semua pihak bahawa pada tahun 1976, Kerajaan Negeri Sarawak telah menandatangani perjanjian rasmi dengan Kerajaan Persekutuan yang memindahkan hak milik dan kawalan terhadap sumber petroleum negeri itu kepada Petronas.
“Maka sebarang tuduhan bahawa Petronas telah beroperasi secara haram di negeri Sarawak adalah jelas tidak berasas dan bercanggah dengan fakta perundangan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Awal hari ini Kerajaan Negeri mendakwa anak syarikat huluan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) itu melanggar Seksyen 7(e) Ordinan Pengagihan Gas (DGO) 2016, yang mensyaratkan setiap entiti memperoleh lesen untuk mengurus saluran paip gas.
Ia turut mengeluarkan notis dengan tempoh 21 hari kepada PCSB untuk memohon dan mendapatkan lesen yang diperlukan, dan kegagalan mematuhinya boleh membawa kepada denda di bawah Seksyen 21A ordinan tersebut.
Bagaimanapun dalam satu kenyataan susulan, Petronas berkata, PCSB diberi kuasa secara statutori di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974 untuk menjalankan aktiviti syarikat dan mematuhi semua undang-undang yang berkaitan.
Kenyataan itu turut menekankan bahawa syarikat berkenaan terikat di bawah PDA 1974 yang memberikan kuasa eksklusif kepada Petronas untuk mengawal selia semua urusan berkaitan petroleum di seluruh negara, termasuk di Sarawak.
Dalam pada itu Na’im berkata, ARMADA Bersatu Malaysia turut melahirkan rasa kesal yang mendalam terhadap apa yang didakwa kelemahan Kerajaan Persekutuan dalam menangani isu tersebut.
“Kegagalan untuk mempertahankan kedudukan Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang sedia ada dipercayai akan menyebabkan kerugian yang besar kepada negara dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.
“Kami menyeru semua pihak untuk menghormati semangat Persekutuan yang menjadi asas kepada pembentukan negara demi kepentingan bersama seluruh rakyat Malaysia,” katanya lagi.
Selain itu Nai’m berkata, semua pihak digesa untuk menghormati semangat Persekutuan yang menjadi asas kepada pembentukan negara demi kepentingan bersama seluruh rakyat Malaysia.
