Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) hari ini mengeluarkan senarai soalan lazim (FAQ) berkait semua institusi pengajian tinggi di negara ini.


SOALAN LAZIM (FAQ’s)
PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN (MOVEMENT CONTROL ORDER)
KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI

A) UNIVERSITI AWAM (UA) DAN INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI SWASTA (IPTS)

1. Bagaimana dengan pengurusan pelajar bagi yang tidak dapat pulang ke rumah masing-masing?

Para pelajar UA dan IPTS termasuk pelajar antarabangsa yang masih berada di kampus (kolej kediaman, rumah sewa atau kediaman peribadi yang lain) perlu KEKAL berada di premis tersebut walaupun bagi pelajar yang telah membeli tiket pengangkutan ke kampung halaman.

Para pelajar TIDAK DIBENARKAN untuk pulang ke kampung halaman/negara asal masing-masing sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan.

Mereka hendaklah melaporkan kepada pihak pengurusan UA dan IPTS dan tertakluk kepada perintah yang berkuatkuasa. UA dan IPTS perlu bertanggungjawab ke atas keperluan asas, keselamatan dan kebajikan pelajar sepanjang keberadaan mereka di kampus.

2. Adakah operasi perkhidmatan diteruskan di kampus?

Semua operasi di UA dan IPTS adalah ditutup sepenuhnya kecuali perkhidmatan penting (atau essential services) seperti air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, keselamatan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan.

Perkhidmatan penyediaan makanan di UA dan IPTS boleh beroperasi dengan hanya melalui pelaksanaan penghantaran makanan atau pembelian makanan secara bungkus sahaja.

3. Apakah Pengajaran dan Pembelajaran boleh dilaksanakan secara atas talian sepanjang tempoh arahan kawalan pergerakan?

Pihak KPT mengambil maklum akan tahap kesediaan beberap UA dan IPTS dari segi infrastruktur dan pensyarah dalam melaksanakan pembelajaran dalam talian sepenuhnya. KPT juga mengambil maklum terdapat IPTS yang didaftarkan sebagai institusi yang menawarkan PdP atas talian sepenuhnya.
UA dan IPTS yang menggunakan pembelajaran atas talian sepenuhnya dalam pelaksanaan PdP UA dan IPTS adalah DIBENARKAN untuk meneruskan pembelajaran dalam talian DENGAN SYARAT bahawa semua pelajar mendapat akses, kesediaan pensyarah dan infrastruktur dapat dipenuhi sepenuhnya.

Bagi UA dan IPTS yang tidak menggunakan pembelajaran atas talian secara sepenuhnya dalam pelaksanaan PdP adalah TIDAK DIBENARKAN untuk meneruskan aktiviti pembelajaran secara atas talian dengan mengambil kira kepentingan pelajar supaya mereka tidak ketinggalan sekiranya mereka tidak mendapatkan akses kepada internet.

4. Bagaimanakah kami boleh mendapatkan maklumat terkini berhubung Arahan Kawalan Pergerakan?

UA dan IPTS adalah disarankan agar sentiasa peka dengan arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dari masa ke semasa. UA dan IPTS boleh mendapatkan maklumat terkini dengan melayari saluran telegram MKN Rasmi https://t.me/MKNRasmi.

B) POLITEKNIK DAN KOLEJ KOMUNITI

1. Adakah penutupan institusi di Politeknik dan Kolej Komuniti adalah selaras dengan pengumuman oleh Perdana Menteri?

YA, penutupan kampus Politeknik dan Kolej Komuniti adalah selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan oleh Perdana Menteri. Untuk itu, setiap institusi WAJIB mengikuti arahan ini untuk membendung COVID-19 dari terus menular.

2. Bolehkah para pelajar Politeknik dan Kolej Komuniti tidak pulang ke kampung mereka dan terus tinggal di Kamsis?

Para pelajar Politeknik dan Kolej Komuniti yang masih berada di kampus (Kamsis) perlu KEKAL berada di premis tersebut. Mereka TIDAK DIBENARKAN untuk pulang ke kampung halaman masing-masing sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan ternasuk pelajar yang telah membeli tiket pengangkutan bagi pulang ke kampung halaman.

Mereka hendaklah melaporkan kepada pihak pengurusan Politeknik dan Kolej Komuniti dan tertakluk kepada perintah yang berkuatkuasa. Pihak pengurusan Politeknik dan Kolej Komuniti perlu bertanggungjawab ke atas keperluan asas, keselamatan dan kebajikan pelajar sepanjang keberadaan mereka di kampus.

3. Bagaimanakah status pelajar yang menjalani latihan industri? Adakah mereka akan terus berada di syarikat mereka menjalani latihan atau dikuarantin juga?

Pelajar yang sedang mengikuti Latihan Industri (LI) atau latihan Work Based Learning (WBL) di industri ditangguhkan latihan mulai 18 Mac 2020 hingga 31Mac 2020 KECUALI bagi industri pemberi Perkhidmatan Penting Negara (rujuk kenyataan Majlis Keselamatan Negara pada 18 Mac 2020). Namun demikian, pihak institusi boleh mempertimbangkan kelulusan cuti kepada pelajar atas persetujuan pihak industri.

4. Adakah aktivti PnP dan program yang telah tertangguh akibat Perintah Kawalan Pergerakan ini perlu diganti atau terus dibatalkan?

Tidak perlu diganti.

5. Bagaimana pula dengan peperiksaan hujung semester, adakah ia akan ditangguh ke tarikh yang lain?

YA. Penilaian Akhir dan Peperiksaan Akhir Politeknik Sesi Disember 2019 dipinda dari tarikh 6 April 2020 hingga 23 April 2020 kepada 13 April 2020 hingga 3 Mei 2020. Penilaian Akhir dan Peperiksaan Akhir Kolej Komuniti Sesi Disember 2019 dipinda dari tarikh 23 Mac 2020 hingga 11 April 2020 kepada 6 April 2020 hingga 17 April 2020.

6. Umum telah pun mengetahui tempoh penutupan institusi dan kampus adalah bermula 18-31 Mac 2020. Untuk itu, adakah para pelajar perlu terus melapor diri ke kampus masing-masing pada 1 April 2020, atau tidak?

Mohon sentiasa mengikuti sebarang pengumuman dan makluman terkini oleh Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti.

7. Bolehkah sebarang tuntutan dibuat untuk lojing & logistik dibuat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini?

TIDAK BOLEH. Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini mewajibkan warga untuk tidak ke mana-mana dan tinggal di kediaman masing-masing.

8. Adakah mana-mana premis Politeknik dan Kolej Komuniti digunakan sebagai pusat kuarantin?

TIDAK.

9. Perlukah pensyarah dan staff hadir ke pejabat untuk Thumbprint dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini?

TIDAK PERLU. Patuhi arahan perintah Perintah Kawalan Pergerakan dan sentiasa boleh dihubungi atau bekerja dari rumah. Rujuk Surat Arahan Bekerja dari Rumah yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) bertarikh 17 Mac 2020.

10. Adakah PSH layak dibayar dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan?

PSH yang skop kerjanya boleh dilaksanakan di rumah, adalah layak dibayar upah berdasarkan hari bekerja sepanjang tempoh tersebut. Rujuk kepada FAQ Urusan Perkhidmatan 17 Mac 2020.