KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kebajikan Rumah Bonda Kuala Lumpur yang dikenali sebagai Rumah Bonda, memfailkan saman terhadap Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKM WPKL), bagi memohon perintah supaya rumah perlindungan itu dibuka semula.

Saman pemula itu difailkan Rumah Bonda melalui pengerusinya Siti Bainun Ahd Razali selaku plaintif, melalui Tetuan Asiah Abd Jalil Law Chambers di Mahkamah Majistret di sini pada 7 Jun lalu, dengan menamakan Pengarah JKM WPKL sebagai defendan.

Dalam saman itu, plaintif memohon perintah supaya defendan menanggalkan 'Lak' yang telah dibuat pada 12 Julai 2021 ke atas premis itu di Taman Setapak, dan memohon perintah agar plaintif boleh menggunakan premis berkenaan bagi maksud lain selain daripada pusat jagaan, selain memohon kos dan relif lain yang sesuai oleh mahkamah.

Berdasarkan afidavit sokongan yang difailkan bersama saman itu, Siti Bainun berkata beliau telah menerima Notis Lak daripada JKM WPKL, yang memaklumkan bahawa Rumah Bonda di Taman Setapak akan ditutup mengikut Seksyen 16(1) Akta Pusat Jagaan 1993.

Dakwa Siti Bainun, tindakan lak yang dibuat pada 12 Julai 2021 atas alasan Rumah Bonda tidak berdaftar di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 adalah tidak adil, tidak mengikut prinsip pentadbiran dan undang-undang administratif yang wajar, memandangkan JKM WPKL telah mengetahui bahawa rumah perlindungan tersebut sedang dalam proses permohonan pendaftaran.

"Pada 20 April 2022, Rumah Bonda telah menerima notis tawaran kompaun berjumlah RM5,000 daripada JKM WPKL mengikut Peraturan-Peraturan Pusat Jagaan 1994 (Pengkompaunan Kesalahan), di bawah Seksyen 21A dan Seksyen 24 Akta Pusat Jagaan 1993 dan Rumah Bonda telah membuat bayaran penuh kompaun itu pada 25 April 2022," katanya menerusi afidavit sokongan.

Menurut Siti Bainun, beliau kecewa apabila dimaklumkan oleh Pegawai Penguatkuasa JKM WPKL bahawa, Rumah Bonda hanya boleh dibuka melalui satu perintah mahkamah walaupun kompaun telah dijelaskan sepenuhnya.

"Saya sebagai pengerusi Rumah Bonda dan mewakili seluruh ahli jawatankuasa berakujanji bahawa, sekiranya mahkamah memberikan perintah menanggalkan lak tersebut, saya dan Rumah Bonda tidak akan menggunakan premis tersebut sebagai pusat jagaan, sehinggalah premis tersebut didaftarkan di bawah Seksyen 10 Akta Pusat Jagaan 1993," katanya.

Dakwa Siti Bainun selepas tindakan lak dilaksanakan, beliau, ahli jawatankuasa dan sukarelawan tidak lagi mempunyai akses untuk memasuki Rumah Bonda, sekaligus menyukarkan usaha-usaha permohonan pendaftaran rumah perlindungan itu dan tidak boleh menjalankan kerja-kerja amal yang lain, seperti penyediaan makanan bagi gelandangan dan pusat bank makanan.

"Rumah Bonda sehingga kini terpaksa membayar sewa bulanan bagi premis itu berjumlah RM2,800 sebulan, meskipun tidak dapat menggunakan premis berikutan tindakan Lak oleh JKM WP KL dan sejak 12 Julai 2021, Rumah Bonda telah menanggung kos sewa hampir setahun tanpa peluang memanfaatkan premis berkenaan," katanya.

Berdasarkan semakan sistem mahkamah, kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Majistret Nur Syafiqah Noorinda pada 22 Jun ini.

-- BERNAMA