MELAKA: Sebanyak lapan pintu rumah kongsi berkeluasan 3,962 meter persegi di sebuah tapak pembinaan musnah dalam satu kebakaran di Bertam, di sini hari ini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu Mohamed Azuani Mat Yusuf berkata pihaknya menerima panggilan pada 6.14 petang sebelum tiba di tempat kejadian kira-kira 10 minit kemudian.

"Kebakaran membabitkan lapan pintu rumah kongsi termasuk beberapa stor menyimpan kabel dan petrol itu berjaya dikawal sepenuhnya pada 7.31 malam ini.

"Kira-kira 100 mangsa membabitkan buruh binaan warga asing tinggal di rumah kongsi berkenaan namun tiada yang dilaporkan cedera ketika kejadian," katanya kepada pemberita di sini malam ini.

Beliau berkata 14 anggota daripada BBP Tangga Batu, Cheng dan Ayer Keroh terlibat dalam operasi itu termasuk tiga jentera pemadaman.

Katanya antara masalah dihadapi pasukan penyelamat adalah ketiadaan bekalan sumber air kerana taman perumahan itu masih dalam pembinaan dan pihaknya menggunakan bekalan air sepenuhnya daripada jentera.

-- BERNAMA