NATIONAL
Rumah mampu milik dan pendidikan berkualiti pacu transformasi Sentul

Dr Zaliha (tengah) merasmikan pelancaran Residensi Kecapi dengan menandatangani plak peringatan menandakan siapnya 250 unit rumah kos rendah yang dirancang dengan baik di Sentul.
KUALA LUMPUR: Usaha memperkasa komuniti bandar dari sudut perumahan dan pendidikan menerima suntikan baharu melalui dua inisiatif berimpak tinggi menerusi pelancaran Residensi Kecapi dan Program Bintang Cemerlang 2.0, hasil kerjasama strategik antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Sentul Raya Sdn. Bhd. (SRSB).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, inisiatif ini sebagai manifestasi sebenar Malaysia MADANI, iaitu sebuah wawasan pembangunan yang berteraskan kasih sayang, keadilan sosial dan keutamaan rakyat serta memiliki rumah berkualiti dan akses kepada pendidikan cemerlang,
“Ini bukan sekadar membina rumah atau melaksanakan program pendidikan. Ia adalah langkah strategik untuk mengangkat martabat rakyat kota yang memberikan mereka bukan sahaja tempat tinggal yang selamat dan mampu milik, tetapi juga peluang pendidikan yang membuka masa depan,” katanya.
Tambahannya, Residensi Kecapi menawarkan 250 unit rumah kos rendah pada harga RM42,000 iaitu harga jauh di bawah harga pasaran dengan subsidi penuh ditanggung oleh SRSB.Projek berkenaan juga menyokong Dasar Perumahan Negara dan komitmen kerajaan menyediakan perumahan mampu milik di kawasan strategik seperti Sentul, dalam rangka memperbaharui kawasan bandar lama dan membentuk komuniti seimbang.
Dalam masa sama, Program Pendidikan Bintang Cemerlang 2.0 yang diteruskan oleh SRSB memberi tumpuan kepada peningkatan keupayaan asas pelajar seperti membaca, menulis dan mengira (3M), serta pembangunan sahsiah dan kesihatan.
Program ini menyasarkan 23 buah sekolah rendah di Sentul, khususnya dalam komuniti PPR selain turut menyediakan modul khas untuk guru bagi meningkatkan keberkesanan pembelajaran.
Gabungan kedua-dua inisiatif ini mencerminkan pendekatan menyeluruh terhadap pembangunan bandar yang bukan hanya membina fizikal kediaman, tetapi membentuk masa depan masyarakat melalui pendidikan dan nilai dan sekali gus menjadi contoh kerjasama awam-swasta yang strategik dan lestari.
“Saya menyeru agar lebih banyak pihak swasta tampil memainkan peranan dalam membina masa depan Kuala Lumpur yang lebih inklusif.
“Kita perlukan model pembangunan yang adil dan kota yang bukan hanya cantik secara fizikal, tetapi penuh kasih dan harapan untuk semua lapisan masyarakat,” tambah beliau lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami