KUALA LUMPUR: Kegagalan pemaju menyiapkan projek dalam tempoh ditetapkan menjadi antara punca sasaran pembinaan Rumah Mampu Milik (RMM) gagal dicapai dalam tempoh lima tahun.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata, antara sebab lain termasuk kekurangan tanah yang sesuai dan masalah penyediaan peruntukan.

"Pada tahun 2020 juga, negara berdepan penularan pandemik COVID-19 yang melihat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang menutup operasi pembinaan perumahan bermula Mac 2020 hingga September 2020," katanya di Dewan Negara hari ini.

Jelasnya, dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) iaitu dari 2016 hingga 2020, sebanyak 282,259 unit atau 43.2 peratus daripada sasaran 653,000 unit RMM siap dibina Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan pemaju swasta.

Ismail berkata demikian sebagai menjawab soalan Senator Datuk T Mohan yang ingin tahu faktor-faktor yang menyebabkan kerajaan hanya mencapai 43 peratus daripada sasaran pembinaan rumah mampu milik.

Mohan juga ingin tahu rancangan strategik yang akan diguna pakai untuk mencapai 500,000 buah rumah seperti yang dicadangkan dalam RMK12.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, kerajaan mensasarkan pembinaan 500,000 unit RMM menerusi RMK-12 bagi menyediakan perumahan yang lebih inklusif, dengan infrastruktur lengkap dan berkualiti.

"Dalam hubungan ini, KPKT telah menubuhkan Jawatankuasa Kerja dan Jawatankuasa Pemandu untuk menyelaras perancangan bekalan RMM dan data RMM di seluruh negara.

"Jawatankuasa ini akan memantau pelaksanaan dan pencapaian penyediaan bekalan RMM oleh 15 agensi penyedia perumahan di peringkat persekutuan selain KPKT, Kerajaan Negeri dan pemaju swasta, agar pembinaan RMM berjalan lancar dan mencapai sasaran.

"KPKT akan menyumbang sebanyak 96,457 unit atau 19 peratus daripada sasaran 500,000 unit RMM," ujarnya.