PASIR MAS: Letupan sebuah stor penyimpanan mercun di Pekan Mundok, Thailand, semalam turut menyebabkan rumah penduduk di Kampung Bukit Lata, Rantau Panjang, di sini, yang terletak berhampiran sempadan dengan negara jiran itu, mengalami kerosakan.

Seorang penduduk Syed Kamaruddin Syed Mohd Othman, 52, berkata kejadian 3.45 petang itu mengakibatkan beliau menanggung kerugian, apabila rumahnya mengalami kerosakan.

"Letupan kuat itu menyebabkan dinding rumah rentak, siling ruang tamu jatuh selain tingkap pecah.

"Ketika kejadian itu saya bersama dengan empat ahli keluarga lain berehat di dalam rumah, terkejut seolah-olah letupan itu berlaku di atas bumbung rumah saya," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya, di sini, hari ini.

Syed Kamaruddin berkata selepas mendengar letupan itu, beliau bersama ahli keluarga lain bergegas keluar daripada rumah untuk melihat apa yang berlaku.

"Kami tanya penduduk di seberang sana (Mundok), kerana rumah saya terletak berhampiran 50 meter daripada Sungai Golok (Mundok), mereka beritahu berlaku letupan di gudang mercun," katanya dan menambah kesan asap akibat letupan itu, dapat dilihat malah memasuki rumahnya.

"Alhamdulillah tiada kecederaan dialami ahli keluarga, namun saya perlu menanggung kerugian RM15,000 bagi membaiki kerosakan," katanya.

Syed Ismail Syed Mohamad, 57, berkata ketika kejadian itu beliau sedang tidur dan terkejut kerana bumbung rumahnya tercabut, selain cermin tingkap pecah kesan letupan itu.

"Sebelum ini pernah berlaku letupan bom di sana, namun tidak sekuat ini, saya ingat letupan bom berlaku sekali lagi di sana.

"Letupan itu menyebabkan saya kerugian RM10,000 kerana kerosakan bumbung rumah, tingkap dan siling rumah," katanya.

Seorang lagi penduduk Razak Che Wan, 62, berkata semasa kejadian dia berada di dalam bot di tebing Pekan Mundok.

"Letupan itu menyebabkan saya terjatuh dalam bot, saya ingat berlaku gempa bumi," katanya.

-- BERNAMA