NATIONAL
Rumah terbakar, tiga sekeluarga sesak nafas

Tiga mangsa mengalami sesak nafas selepas kediaman mereka terbakar. - Foto Sinar Harian
GEORGE TOWN: Dua lelaki dan seorang wanita dipercayai satu keluarga mengalami sesak nafas apabila kediaman didiami mereka terbakar dalam kejadian kira-kira jam 9.50 malam Isnin.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Zaini Zainuddin berkata, kedua-dua lelaki terbabit berusia lingkungan 40-an manakala wanita berusia 66 tahun.
Menurutnya, kejadian berlaku di sebuah flat di Jalan Semarak Api I, Medan Angsana, Ayer Itam di sini.
"Bagaimanapun ketiga-tiga mangsa telah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut dan keadaan mereka setakat ini stabil," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.Mohd Zaini berkata, kebakaran terbabit melibatkan sebuah rumah flat kelas A dengan anggaran keluasan 9.1 x 7.6 meter persegi.
"Anggaran kemusnahan adalah 60 peratus manakala kerja-kerja pemadaman turut dibantu pasukan bomba sukarela dan balai berhampiran. Seramai 21 pegawai dan anggota bomba terlibat dalam operasi pemadaman itu.
"Kita telah membuat 'size up' dan menjalankan kerja-kerja pengawalan dan pemadaman serta penyelamatan. Kebakaran dapat dikawal pada jam 10.34 malam dan api padam sepenuhnya pada 10.45 malam," katanya.
Tambahnya, pasukan bomba telah menjalankan kerja-kerja 'overhaul' bagi memastikan tiada faktor bahaya lain dan operasi ditamatkan pada 11.17 malam sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasatan kebakaran (FIO) untuk tindakan selanjutnya. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami