KUALA LUMPUR: Hampir separuh (45 peratus) daripada kes penipuan yang dilaporkan di Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam masih gagal diselesaikan, walaupun pengguna mengambil lebih banyak langkah untuk melindungi diri, menurut Laporan Penipuan Pengguna ASEAN GSMA 2026, lapor Xinhua pada Rabu.
Kira-kira lapan peratus pengguna dalam tinjauan itu ditipu dalam tempoh 12 bulan lepas.
Dalam kalangan mangsa, 68 peratus kehilangan wang, dengan 82 peratus tidak dapat menebus kerugian mereka manakala hanya 10 peratus memperoleh semula semua wang mereka, menurut laporan yang didedahkan pada Sidang Kemuncak Amanah Digital di Kuala Lumpur, Malaysia.
Kes yang tidak berjaya diselesaikan telah menghakis kepercayaan pengguna terhadap saluran komunikasi, platform digital dan perkongsian data, dengan banyak yang mengubah cara mereka menggunakan perkhidmatan digital dan bertindak balas terhadap komunikasi masuk, menurut laporan itu.
Laporan itu menunjukkan bahawa aplikasi pemesejan telah muncul sebagai saluran paling kerap berlaku pertemuan dengan penipu iaitu menyumbang 41 peratus daripada pengalaman penipuan yang dilaporkan.
Sementara itu, perkaitan pengguna platform digital utama dengan penipuan telah meningkat di seluruh rantau ini.
Laporan itu juga mendapati bahawa 96 peratus pengguna bimbang ditipu atau digodam, manakala hampir sembilan daripada 10 mengiktiraf sekurang-kurangnya satu bentuk AI digunakan dalam penipuan.
Aktiviti penipuan semakin beralih ke arah pelaburan, mata wang kripto, beli-belah dalam talian dan penipuan pekerjaan, iaitu mangsa dipujuk untuk memindahkan wang sendiri.
Pengguna yang pernah mengalami penipuan, mempunyai kemungkinan dua kali lebih tinggi untuk bertukar akaun atau penyedia perkhidmatan, menurut laporan itu.
-- BERNAMA-XINHUA