Skip to main content

Malaysia

Rumah Terbuka Aidilfitri Negeri Sembilan dibatalkan

SINAR HARIAN
Aminuddin(kiri) beramah mesra dengan pengunjung di Program Mantai Raya DUN Sikamat. - Foto Sinar Harian

SEREMBAN: Penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri 2026 Peringkat Negeri Sembilan yang dijadualkan berlangsung di Bandar Sri Jempol pada 4 April ini dibatalkan.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, keputusan itu dibuat selaras pendekatan berjimat-cermat dalam perbelanjaan yang diumumkan kerajaan.

Advertisement

"Kerajaan Negeri Sembilan telah bersetuju untuk membatalkan program sambutan Aidilfitri peringkat negeri.

"Program Sambutan Hari Raya Madani Negeri Sembilan yang dijadualkan diadakan di Port Dickson pada 12 April ini turut dibatalkan," katanya ditemui pemberita selepas Program Mantai Raya 2026 di Dewan Undangan Negeri(DUN) Sikamat di sini pada Rabu.

Menurutnya, pembatalan itu secara tidak langsung dapat mengurangkan perbelanjaan kerajaan negeri.

Bagaimanapun katanya, pihaknya tidak menghalang mana-mana jabatan atau agensi kerajaan yang berhasrat menganjurkannya, tetapi biarlah dalam konsep sederhana.

Berkenaan program mantai diadakan, Aminuddin berkata, ia mendapat sambutan yang menggalakkan namun ada beberapa perkara yang perlu ditambah baik pada masa akan datang, terutama berkenaan pengurusan jualan.

Sebelum ini media melaporkan,Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua pihak termasuk agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLC/GLIC) mengamalkan perbelanjaan lebih berhemah.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan pengurusan kewangan lebih berdisiplin selain memberi contoh baik dalam keadaan ekonomi semasa. - Sinar Harian

 

 

Must Watch Video