Skip to main content

Malaysia

Rundingan AS-Iran tunjuk perkembangan positif, Malaysia sokong usaha pelbagai hala - PM Anwar

CEBU (Philippines), May 8 -- Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim speaks at a press conference after attending the 48th ASEAN Summit and Related Summits here today.
Menurut Anwar, perkembangan itu memberi harapan ke arah penyelesaian diplomatik yang mampu memperkukuh keamanan dan keselamatan rantau berkenaan. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Malaysia bersedia menyokong sebarang usaha pelbagai hala yang mampu menyumbang kepada keamanan dan kestabilan berkekalan di Asia Barat susulan perkembangan positif rundingan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia menerima petunjuk menggalakkan daripada para pemimpin Asia Barat bahawa rundingan ke arah perjanjian rangka kerja antara AS dan Iran, termasuk pembukaan semula Selat Hormuz, sedang bergerak dalam trajektori positif.

Menurut Anwar, perkembangan itu memberi harapan ke arah penyelesaian diplomatik yang mampu memperkukuh keamanan dan keselamatan rantau berkenaan.

"Malaysia mengambil maklum peranan konstruktif yang dimainkan oleh Bahrain, Mesir, Jordan, Oman, Pakistan, Qatar, Arab Saudi, Turkiye dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam memudah cara proses ini.

"Kami juga mengalu-alukan penglibatan peribadi Presiden AS, Donald Trump dalam usaha mencapai penyelesaian menerusi rundingan," katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, Perdana Menteri berharap semua pihak yang terlibat dalam rundingan tersebut dapat memanfaatkan peluang sedia ada bagi memastikan proses rundingan berjaya diselesaikan secara damai dan menyeluruh.

Dalam masa sama, Anwar menambah Malaysia turut menggesa semua pihak mencapai satu perjanjian rangka kerja yang inklusif bagi memperkukuh gencatan senjata semasa, menjamin laluan selamat melalui Selat Hormuz serta menangani kepentingan keselamatan sah semua negara di Asia Barat.

 

Must Watch Video

Advertisement