IPOH: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak akan menjalankan siasatan menyeluruh kejadian bukit batu kapur di sebuah kawasan kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai, dekat sini, runtuh pada Selasa.

Pengarah JKKP Perak, Supian Alias berkata, siasatan bertujuan mengenal pasti sebarang pelanggaran perundangan dan elemen lain yang menjadi punca kepada kemalangan.

Menurutnya, siasatan menyeluruh akan dijalankan setelah operasi mencari dan menyelamat selesai dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“JKKP akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya didapati terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, mengikut akta itu, adalah menjadi kewajipan setiap majikan untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja, semua pekerjanya mahupun orang awam di tempat kerja di bawah kawalannya.

Menurutnya, majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja, membuat analisa risiko dan mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja.

“Ini bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan orang awam serta mengelakkan berlakunya kemalangan,” ujarnya.

Katanya, kejadian seumpama itu boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC).

Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 pagi Selasa, dua pekerja berjaya menyelamatkan diri manakala dua masih hilang, dikhuatiri tertimbus.

BACA: Runtuhan batu kuari: Dua cedera, dua hilang dikhuatiri tertimbus

BACA: Runtuhan batu kuari: Kerja mencari dan menyelamat disambung semula

BACA: Runtuhan batu kuari: Bomba pasang alat mengesan pergerakan tanah

Mangsa yang dipercayai masih tertimbus, dikenali sebagai Kheow Loo Siew Soon, 49 dan Itam Lasoh, 43.

Dua lagi mangsa, Mohd Razli Suhaimi, 35 mengalami patah kaki dan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk menerima rawatan manakala rakannya Pan Bah Tam, 38, mengalami cedera ringan.