IPOH: Tiga penyokong bola sepak didenda RM2,000 setiap seorang di Mahkamah Majistret Ipoh pada Selasa, selepas mengaku bersalah merusuh ketika perlawanan antara Perak FC dan Selangor FC, pada Sabtu.

Muhammad Aiman Firdaus Badrul Hisam, 21; Mohamad Amirul Asnil Mat Pandir, 26; dan Muhammad Hayyan Sufi Mohd Sabri, 20, ketiga-tiganya beralamat di Perak, membuat pengakuan itu selepas tuduhan terhadap mereka dibacakan serentak di hadapan Majistret S. Punitha.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga mereka, bersama seorang lagi tertuduh remaja bawah umur, didakwa telah melakukan kesalahan merusuh di Stadium Perak, kira-kira jam 9.17 malam, pada Sabtu.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi tertuduh remaja bawah umur pula, mahkamah menetapkan 28 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu penyediaan laporan akhlak.

Mahkamah menetapkan jaminan RM1,500 dengan seorang penjamin sama ada ibu, bapa atau penjaga remaja berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Perdakwa Raya Nasrul Hadi Abdul Ghani manakala kesemua tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Robert Gnanarajan.

Pada Ahad, media melaporkan polis  menahan empat lelaki kerana melakukan kekecohan semasa perlawanan Liga Super antara Perak FC menentang Selangor FC di Stadium Perak pada Sabtu.

Dalam perlawanan itu, tuan rumah Perak FC tumpas 0 - 4.