KUALA LUMPUR:Satu cadangan Rang Undang-Undang (RUU) baharu berhubung gangguan seksual diusulkan di Dewan Rakyat hari ini agar ia dibahaskan pada persidangan akan datang.

Usul berhubung RUU itu dikemukakan oleh Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuriraani Patto selepas lebih 17,500 menandatangi petisyen tersebut menerusi laman web Change.org, setakat Oktober lalu,

Jelas Kasthuriraani, perbahasaan berkenaan RUU tersebut penting untuk memastikan hak mangsa gangguan seksual terbela, selain menambah baik kelemahan undang-undang sedia ada.

"Saya membawa sebuah rayuan kepada Majlis Dewan Rakyat di bawah Peraturan Mesyuarat 19. Rayuan ini adalah daripada seramai 512 rakyat Malaysia.

"Bahawa seramai 1/3 wanita dan 1 daripada enam lelaki di Malaysia mengalami gangguan seksual; bahawa terdapat kelemahan yang serius terhadap undang-undang sedia ada.

"Bagi menangani gangguan seksual akibat kelemahan undang-undang, pemandiri (mangsa gangguan) tersekat untuk mendapatkan keadilan, pemangsa dapat mengelak dari undang-undang dan undang sedia ada bukanlah penghalan kepada gangguan seksual," katanya di Dewan Rakyat, di sini pada Khamis.

Jelas beliau, perayu-perayu yang mengemukakan petisyen tersebut memohon agar Dewan Rakyat mengambil maklum masalah kritikan mengenai gangguan seksual yang mengugat keselamatan rakyat negara ini.

Cadangan dikemukakan Kasthuriraani kemudian disokong oleh Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan, menyifatkan ia sebagai usul yang baik dan melangkaui isu politik.

Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun ketika menjawab mengenai permohonan tersebut memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima petisyen berkenaan.

Katanya, Majlis Dewan Rakyat sedang meneliti dan mempertimbangkan petisyen berkenaan.