Skip to main content
Advertisement

Malaysia

RUU had tempoh jawatan PM sudah siap, tunggu dibawa ke Parlimen - Azalina

PUTRAJAYA, 3 Ogos - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Bulanan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Ogos 2026 di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) hari ini. - fotoBERNAMA
Menurut Azalina (tengah), pindaan berkaitan had tempoh jawatan Perdana Menteri itu membabitkan Perlembagaan Persekutuan justeru ia memerlukan sokongan majoriti dua pertiga ahli Parlimen. -Foto Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan had tempoh jawatan Perdana Menteri sudah siap dan kini tertakluk kepada keputusan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dibawa ke Parlimen dalam sesi akan datang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata proses berkaitan tempoh had jawatan Perdana Menteri itu sudah diselesaikan, termasuk penyediaan RUU berkenaan oleh pihak berkaitan.

“Semua dah siap dah. 'Time period' dah siap, tertakluk kepada Perdana Menteri selaku Ketua Majlis untuk bawa dalam sesi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Tinjauan Pendapat Awam Mengenai Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Koroner, di sini, pada Khamis.

Menurut Azalina, pindaan berkaitan had tempoh jawatan Perdana Menteri itu membabitkan Perlembagaan Persekutuan justeru ia memerlukan sokongan majoriti dua pertiga ahli Parlimen.

Katanya, perkara sama turut terpakai bagi cadangan pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang juga memerlukan sokongan dua pertiga.

“Dua-dua ini ialah pindaan kepada Perlembagaan, jadi kita perlu dua pertiga. Sama juga dengan pemisahan AG (Peguam Negara) dengan PP (Pendakwa Raya) memerlukan dua pertiga,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengakui faktor politik memainkan peranan dalam usaha mendapatkan sokongan terhadap pindaan Perlembagaan berkenaan.

Sehubungan itu, beliau merayu semua Ahli Parlimen dan parti politik supaya menyokong RUU berkenaan.

Katanya, reformasi berkenaan penting bagi mengurangkan persepsi yang pendakwaan terhadap mana-mana individu mempunyai unsur politik.

“Saya merayulah kalau boleh kepada semua Ahli Parlimen. RUU yang kita buat, pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya ini sesuatu yang baik.

“Ini boleh mengurangkan sedikit persepsi pendakwaan politik kepada mana-mana kes,” katanya.

Beliau berkata, sokongan terhadap RUU berkenaan perlu dilihat dari sudut kepentingan negara dan bukannya kepentingan mana-mana parti politik.

“Saya harap sangatlah Ahli-ahli Dewan Rakyat, Dewan Negara dan mana-mana parti politik mesti mengalu-alukan RUU ini kerana ia membawa lebih banyak kebaikan daripada keburukan.

“Ia adalah untuk negara kita dan saya tak nak lagi dengar orang cakap bila kena dakwa, adanya udang sebalik batu dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya, pemisahan berkenaan diyakini dapat meningkatkan keyakinan terhadap institusi pendakwaan, khususnya apabila pelantikan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dilaksanakan melalui proses yang lebih telus dan berteraskan Parlimen.

Katanya, reformasi itu diharapkan dapat memberikan lebih keyakinan kepada rakyat terhadap kebebasan serta integriti proses pendakwaan di negara ini.

Must Watch Video

Advertisement