Kerajaan hari ini menangguhkan Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2015 untuk bacaan kali kedua dan ketiga.

Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, RUU ditangguhkan sehingga sesi persidangan akan datang.

“Rang Undang-undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan 2015) seperti yang tertera di nombor 1 dalam aturan urusan mesyuarat pada hari ini ditangguhkan bacaan kedua dan ketiga dan dibawa mesyuarat akan datang,” katanya pada sesi perbahasan di Dewan Rakyat pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: KRITIK KERAJAAN BUKAN LAGI SATU KESALAHAN DALAM CADANGAN PINDAAN AKTA HASUTAN

Sementara itu, kerajaan turut menangguhkan RUU Keterangan (Pindaan) 2015 untuk bacaan kali kedua dan ketiga hingga mesyuarat akan datang.

Ia diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri.

Penangguhan itu dibuat berikutan desakan dari beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang pada sesi perbahasan RUU berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: RUU LANGKAH-LANGKAH KHAS MENENTANG KEGANASAN DI LUAR NEGARA DILULUS


Selain itu, mereka turut yang menyifatkan RUU tersebut sebagai zalim.

Isnin lalu, kerajaan telah membentangkan tujuh RUU merangkumi dua akta baharu serta lima pindaan terhadap undang-undang sedia ada.

Ia adalah bertujuan bagi membendung aktiviti jenayah di negara ini.

ARTIKEL BERKAITAN: DEWAN RAKYAT LULUS POTA SELEPAS LEBIH 12 JAM DIBAHAS

Dua akta baharu yang dibentangkan itu ialah RUU Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) dan RUU Langkah-Langkah Khas Menentang Keganasan di Luar Negara 2015.

Manakala lima lagi akta sedia ada yang akan dipinda ialah RUU Penjara (Pindaan) 2015, RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) 2015, RUU Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2015, RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2015, dan RUU Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Pindaan) 2015

RUU POTA 2015 telah diluluskan tanpa pindaan pada pukul 2.25 pagi Selasa selepas dibahaskan lebih 12 jam dan RUU Langkah-Langkah Khas Menentang Keganasan di Luar Negara 2015 diluluskan semalam.