KUALA LUMPUR: Cadangan penggubalan Akta Parlimen Berpenggal Tetap bagi mengekalkan sesebuah kerajaan yang dibentuk selepas pilihan raya umum untuk mentadbir negara hingga ke akhir penggal mampu membantu memperkukuh kestabilan politik negara, kata beberapa pemimpin politik.

Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata semua pemimpin parti politik seharusnya lebih mengutamakan kestabilan pemerintahan dan usaha memulihkan ekonomi negara.

Abang Johari, yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), berkata justeru itu, apa jua cadangan untuk mewujudkan undang-undang bagi memastikan sesebuah kerajaan memerintah hingga ke akhir penggal perlu dibuat dengan merujuk kepada pakar dalam bidang perundangan.

"Saya tak tahulah sama ada undang-undang ini boleh dilaksanakan, saya serah kepada pakar perundangan kerana dalam Perlembagaan (ada) kebebasan untuk memilih... bermakna kita tidak boleh menggunakan paksaan.

"Untuk GPS, kita berkehendakkan kestabilan di peringkat nasional. Ada Langkah Dubai lah, Langkah London atau apa-apa langkah lain, kita kira boleh dikurangkan... kita tumpu kepada memulihkan ekonomi," katanya selepas mesyuarat Majlis Tertinggi PBB di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan supaya satu rang undang-undang bagi mengekalkan sesebuah kerajaan mentadbir negara hingga ke akhir penggal dibentangkan di Parlimen bagi memastikan peristiwa sebelum ini seperti pertukaran Perdana Menteri sebanyak tiga kali pada penggal ke-14 Parlimen tidak berulang.

Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick pula berkata rang undang-undang itu dilihat dapat membawa kepada kestabilan negara sekali gus mencorakkan pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

"Sebagai sebuah parti dari Sabah yang menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, saya ingin mendengar cadangan itu dengan lebih terperinci," katanya kepada pemberita di ibu negara.

Bagi Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid, cadangan itu adalah satu langkah positif untuk dilaksana dan selari dengan kehendak rakyat yang mahukan Malaysia aman damai daripada krisis politik berpanjangan.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan BN negeri, berkata undang-undang itu boleh membantu meyakinkan pelabur untuk datang ke Malaysia susulan kestabilan politik dan pemerintahan negara.

Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin pula berkata Malaysia sudah memiliki undang-undang yang mencukupi bagi mengekang tindakan menukar kerajaan dengan cara tidak mengikut prinsip demokrasi dan perlembagaan termasuk melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

"Bagaimanapun, sebarang cadangan dan pandangan yang diutarakan adalah tidak salah kerana ia bertujuan mengekalkan kestabilan kerajaan daripada diganggu oleh sebarang tindakan tidak demokrasi," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Kota Tinggi, Johor.

-- BERNAMA