KLANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 secara keseluruhan, dengan rang undang-undang (RUU) berkaitan perkara itu akan dibawa ke Parlimen tahun ini untuk kelulusan.
Menurut Anwar, pemansuhan AUKU tidak bermaksud institusi pengajian tinggi akan beroperasi tanpa sebarang kerangka undang-undang, sebaliknya kerajaan masih memerlukan peruntukan perundangan bagi mengurus tadbir universiti.
Beliau berkata perkara seperti kuasa dekan, senat dan jawatankuasa pengajian perlu terus mempunyai kerangka pengurusan yang jelas, namun ia perlu dibezakan daripada undang-undang yang mengawal mahasiswa.
“Pertamanya, batalkan keseluruhannya. Dan kalau ada keperluan akta pengurusan universiti itu, perubahan universiti, kuasa dekan, kuasa senat, kuasa Board of Studies, itu soal lain,” katanya ketika sesi Temu Anwar sempena Himpunan Anak Muda Kebangsaan (HAMKA) Antarabangsa 2026, di sini, pada Khamis.
Dalam pada itu, Anwar berkata mahasiswa yang kebanyakannya berusia 18 tahun perlu dianggap sebagai golongan dewasa dan matang yang mampu membuat pertimbangan sendiri.
Beliau berkata kesilapan yang dilakukan mahasiswa tidak seharusnya menjadi alasan untuk mewujudkan lebih banyak undang-undang bagi mengawal mereka.
“Apakah saya yakin anak-anak mahasiswa tidak akan melakukan kesilapan? Saya percaya, memang akan berlaku kesilapan.
“Didiklah. Tegurlah. Tak ada undang-undang? Ada undang-undang. Undang-undang jenayah ada? Pakailah.
“Mengapa nak ditambah undang-undang untuk anak-anak mahasiswa?” katanya.
Anwar berkata undang-undang sedia ada tetap terpakai sekiranya mahasiswa melakukan kesalahan, justeru pemansuhan AUKU tidak bermaksud mahasiswa diberikan kebebasan tanpa batasan.
Beliau pada masa sama mahu budaya intimidasi dalam institusi pengajian tinggi dihapuskan, termasuk hubungan antara mahasiswa, pensyarah dan pihak pengurusan universiti.
“Mahasiswa perlu diberikan ruang untuk bertanya, menyuarakan pandangan dan perbezaan pendapat, namun kebebasan itu perlu disertai adab serta tanggungjawab.
“Pendekatan terhadap mahasiswa perlu berubah daripada kawalan kepada pendidikan dan bimbingan, termasuk apabila mereka melakukan kesilapan,” jelasnya.
Anwar turut mengimbas sejarah AUKU yang menurutnya berkait dengan usaha mengawal kegiatan mahasiswa ketika golongan itu aktif menyuarakan isu masyarakat seperti kemiskinan dan rasuah.
Beliau berkata kerajaan kini mahu membina persekitaran universiti yang lebih terbuka, dengan mahasiswa diberi kepercayaan untuk mengembangkan pemikiran serta menyatakan pandangan secara matang.