KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) penubuhan Majlis Media Malaysia (MMC) dijangka dibentangkan di Parlimen menjelang Mac tahun depan, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Setakat ini, beliau berkata proses itu memerlukan satu memorandum mengenainya dikemukakan kepada Kabinet.

"Kami perlu melalui proses itu terlebih dahulu, kemudian melalui Pejabat Peguam Negara dan seterusnya ke Parlimen.

Kami berharap sebelum penghujung tahun sama ada dalam sesi Oktober atau sesi Februari atau Mac 2024, RUU itu boleh dibentangkan," katanya kepada media selepas perjumpaan bulanan kementerian itu di sini hari ini.

Pada 3 Mei lepas, Fahmi dilaporkan berkata kerajaan sedang melihat kepada beberapa RUU berkaitan media, termasuk draf RUU untuk penubuhan MMC dalam usaha memastikan kebebasan akhbar di negara ini.

Beliau berkata pada masa ini draf RUU MMC berada di peringkat perbincangan dalam kalangan organisasi media, syarikat berkaitan dan persatuan pengamal media.

Sementara itu mengenai insiden kebocoran data yang dilaporkan melibatkan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Fahmi berkata Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) telah berhubung dengan universiti itu untuk memastikan UiTM mengisi borang notifikasi kebocoran data serta memberikan kerjasama dalam beberapa perkara.

"Saya difahamkan sepatutnya hari ini maklumat itu disampaikan kepada JPDP. Setakat ini saya belum terima apa-apa maklumat terkini tetapi saya harap kita dapat kenal pasti apa yang berlaku dan mengelakkannya daripada berulang," katanya.

Beliau berkata keutamaan perlu diberikan kepada pindaan Akta Perlindungan Data Peribadi bagi memastikan pemegang data memahami aspek penyimpanan data selain pengurusan data dilakukan dengan lebih cermat dan teratur pada masa depan.

-- BERNAMA