BRUSSELS: Polis di Bandar Liege, Belgium menahan 107 orang yang terbabit dalam demonstrasi pelajar sejak awal Oktober, kata pihak berkuasa tempatan pada Rabu, lapor Anadolu Ajansi memetik agensi berita tempatan.
Penahanan itu melibatkan 80 penahanan pentadbiran dan 27 penahanan kehakiman, menurut agensi berita Belga yang memetik kenyataan polis.
Pada Selasa sahaja, polis menahan 53 orang, termasuk 46 secara pentadbiran dan tujuh secara kehakiman, selepas golongan muda berkumpul di jalan sekitar Universiti Liege.
Sesetengah penunjuk perasaan merosakkan harta benda dan melakukan pembakaran, menurut polis.
Pelajar dan murid di seluruh sistem pendidikan berbahasa Perancis di Belgium mengadakan protes selama beberapa hari berhubung peningkatan kos pendidikan tinggi dan pas pengangkutan awam, selain kekurangan tempat di sesetengah kelas, jadual pembelajaran yang terlalu padat serta kesukaran mendapatkan bahan pengajian.
Pada Rabu, pelajar berkumpul secara aman di luar sekolah Athenee Leonie de Waha di Liege, menurut media tempatan.
Demonstrasi dijangka berterusan sepanjang hari.
Gerakan protes di Belgium itu berlaku ketika pelajar sekolah menengah di Perancis turut menyekat akses dan mengadakan protes di luar sekolah selama beberapa hari, menuntut keadaan pembelajaran yang lebih baik.
-- BERNAMA-ANADOLU