KUALA LUMPUR: Pendekatan Malaysia mengadakan rundingan dan dialog bersama kepimpinan junta Myanmar tidak seharusnya ditafsirkan sebagai tanda persetujuan terhadap tindakan rejim berkenaan.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, kritikan terhadap sebarang hubungan dengan kepimpinan Myanmar termasuk kebimbangan mengenai risiko legitimasi susulan kunjungan ketua junta Myanmar ke Malaysia wajar didengar.
Menurut Kamil Munim, pendekatan diplomasi perlu dilihat berdasarkan matlamat dan hasil yang mahu dicapai, khususnya dalam usaha menghentikan keganasan serta menyelesaikan krisis di Myanmar.
“Kekejaman terhadap rakyat Myanmar tidak boleh diputihkan, dan pendirian Malaysia mengenai Kemuafakatan Lima Perkara ASEAN juga tidak harus dikompromikan.
“Perundingan dan dialog adalah sebahagian daripada kaedah diplomasi. Ia tidak wajar dianggap sebagai isyarat pengiktirafan dan persetujuan. Membuka pintu perbincangan tidak bermakna kita menutup mata terhadap kekejaman,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada Rabu.
Tambah Kamil Munim, sejarah diplomasi Malaysia menunjukkan rundingan dengan pihak yang mempunyai pendirian bertentangan tidak bermakna negara bersetuju ke atas tindakan pihak berkenaan.
Beliau memberi contoh Rundingan Baling pada 1955 apabila Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman, duduk semeja dengan pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng.
Menurutnya, rundingan itu dilakukan dengan matlamat mencari jalan menghentikan keganasan dan menyelamatkan nyawa, bukannya sebagai pengiktirafan terhadap perjuangan bersenjata PKM.
“Pada tahun 1974, ketika ancaman komunis masih nyata di negara kita dan sentimen anti-komunis begitu kuat, Tun Abdul Razak mengambil keputusan yang pada ketika itu cukup berani dengan mengadakan lawatan ke Beijing, bertemu Mao Zedong dan Zhou Enlai.
"Ini membuka hubungan diplomatik dengan Republik Rakyat China. Adakah Tun Razak menjadi komunis kerana berjabat tangan dengan Mao?” soal Kamil Munim.
Kamil Munim turut mengingatkan Malaysia pernah memainkan peranan sebagai fasilitator dalam rundingan antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), selain terlibat dalam proses damai di Selatan Thailand.
Dalam konteks Myanmar pula, beliau berkata Malaysia ketika menjadi Pengerusi ASEAN pada 2025 tidak hanya berhubung dengan pemimpin junta, malah turut membuka ruang kepada pihak berkepentingan lain untuk mencari penyelesaian terhadap krisis negara itu.
Pendekatan tersebut selari dengan pendirian ASEAN yang menekankan keperluan melibatkan semua pihak berkepentingan bagi mencari penyelesaian politik yang menyeluruh.
“Kita boleh mengecam kekejaman dan pada waktu sama bercakap dengan mereka yang mempunyai kuasa untuk menghentikannya. Kedua-duanya tidak bercanggah,” tegasnya.
Kamil berkata, persoalan lebih penting bukan sekadar siapa yang duduk di meja rundingan, sebaliknya perkara yang dituntut Malaysia dalam perbincangan tersebut.
Antara tuntutan utama, katanya, ialah penghentian keganasan, pelaksanaan Kemuafakatan Lima Perkara ASEAN, akses bantuan kemanusiaan serta dialog politik yang inklusif.
ASEAN sendiri pada Oktober 2025 menegaskan Kemuafakatan Lima Perkara kekal menjadi rujukan utama dalam menangani krisis Myanmar, selain menggesa semua pihak menghentikan keganasan dan memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan kepada mereka yang memerlukan.
“Diplomasi adalah keberanian untuk bercakap dengan pihak yang kita tidak setujui apabila keamanan, keselamatan rantau dan nyawa manusia menjadi pertaruhannya,” katanya.