IPOH: Golongan belia di Perak digesa merebut peluang pekerjaan yang disediakan kerajaan negeri khususnya dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pada masa ini permintaan terhadap graduan TVET untuk memenuhi keperluan pekerja berkemahiran tinggi semakin meningkat.

Beliau berkata golongan belia perlu merebut peluang daripada Projek Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjung Malim melibatkan pelaburan RM40 bilion yang akan bermula tahun depan.

"Saya mahu melihat anak muda mendapat limpahan manfaat daripada projek berimpak tinggi AHTV di Tanjung Malim, termasuk dalam pendedahan dan penguasaan teknologi automotif. Jangan salahkan kerajaan negeri jika peluang itu terlepas ke anak jati negeri lain jika kita sendiri tidak mengambilnya.

"Begitu juga projek Lumut Maritime Industrial City (LUMIC) iaitu pelaburan berimpak tinggi bernilai RM72 bilion di Manjung akan menjadi pelantar kepada anak muda untuk membina kerjaya dengan menceburi bidang strategik," katanya ketika berucap pada Majlis Malam Apresiasi Dewan Belia Perak Yang Ketiga Sesi 2021/2022 di sini malam tadi.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Khairudin Abu Hanipah, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak Jenny Choi Tsi Jen dan Pengarah Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) Aldrin Ng.

Saarani berkata kunci kepada kejayaan pelan Perak Sejahtera 2030 banyak bergantung kepada peranan dan keupayaan orang muda ketika ini.

"Peluang yang kita cipta bukan sahaja di Tanjung Malim dan Manjung, tetapi kita turut wujudkan peluang-peluang pekerjaan seperti Ipoh Raya Integrated Park di Simpang Pulai dan pembinaan kilang konglomerat global, XP Power di Seri Iskandar.

"Malah inisiatif mewujudkan Perak Halal Industrial Park (HIP) di Lekir akan dapat manfaat daripada ledakan potensi industri halal dunia termasuk projek kawasan perindustrian berteknologi tinggi di Kerian yang dijangka menjadi antara pemacu kepada pertumbuhan ekonomi masa hadapan, " katanya.

Menurut Saarani pihaknya berharap golongan belia akan mengambil peluang segala inisiatif yang sedang dan akan dilaksanakan itu supaya selepas ini tidak lagi kedengaran ada anak-anak Perak terpaksa merantau semata-mata untuk mendapat pekerjaan.

-- BERNAMA