IPOH: Perak mengumumkan kadar baharu tarif air yang menyaksikan kenaikan lima sen bagi setiap meter padu kepada 75 sen berbanding 70 sen untuk penggunaan domestik sehingga 20 meter padu, ketika ini.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, beliau yakin kenaikan tarif yang akan berkuat kuasa mulai 1 Mei ini tidak terlalu tinggi dan boleh diterima oleh rakyat.

"Saya yakin boleh diterima rakyat. Sebab pertama, ia sudah melepasi berapa puluh tahun, kita tak pernah menaikkan tarif itu.

"Kedua, ada keperluan khusus bagi Lembaga Air Perak (LAP) mempunyai wang yang mencukupi untuk memperbaiki perkhidmatannya.

"Jadi, kita perlukan sedikit tambahan wang untuk membolehkan LAP ganti paip baru, perbaiki mana-mana paip lama dan pelbagai sistem-sistem baru, termasuk meter dan sebagainya, yang menyebabkan kita perlukan pertambahan kos," katanya dalam kenyataan dikeluarkan Pejabat Menteri Besar hari ini.

Saarani berkata, caj bagi penggunaan 21 hingga 35 meter padu ditetapkan pada kadar RM1.08, berbanding RM1.03 sebelum ini.

Bagi mengurangkan kesan perubahan tarif kepada pengguna domestik, LAP memberikan rebat pada kadar 40 sen setiap meter padu untuk penggunaan sehingga 10 meter padu pertama sebulan atau bersamaan RM4 sebulan.

Kenaikan 5 sen itu menyaksikan kadar tarif air baharu di Perak jauh lebih rendah berbanding kadar purata 22 sen yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Bagaimanapun, penetapan tarif baharu berkenaan tidak menjejaskan program air percuma 25 meter padu sebulan untuk golongan sasar dan program air percuma 20 meter padu untuk rumah ibadat.

Januari lalu, SPAN mengumumkan pelarasan kadar tarif air di bawah Mekanisme Penetapan Tarif bagi pengguna kategori domestik di seluruh Semenanjung dan Labuan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Februari 2024.

Pelarasan tarif air domestik itu melibatkan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu.