KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah buat masa ini masih belum menerima maklumat secara rasmi berhubung pengumuman sebuah syarikat swasta dari Brunei yang berhasrat melaksanakan projek rangkaian kereta api berkejaluan tinggi pertama di Borneo antara lain turut melibatkan Sabah.

Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya yang juga Menteri Kerja Raya negeri berkata pihaknya hanya mengetahui dan mendengar pengumuman itu menerusi laporan berita, namun belum ada pemakluman terperinci mengenainya setakat ini.

"Cuma untuk kereta api Trans Borneo yang dimaklumkan Kementerian Pengangkutan Malaysia akan membuat kajian kebolehlaksanaan dahulu pada tahun ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan berita mengenai sebuah syarikat dari Brunei yang membuat pengumuman menerusi laman sesawangnya berhubung pelaksanaan projek Trans Borneo Railway, rangkaian kereta api berkelajuan tinggu pertama di Borneo yang kelak dibina dalam dua fasa melibatkan laluan sepanjang 1,620 kilometer.

Shahelmey berkata kerajaan Sabah setakat ini ada menerima beberapa cadangan daripada pelbagai pihak termasuk dari China dan India untuk perancangan jaringan kereta api namun ia masih di peringkat awal.

"Jabatan Keretapi Negeri Sabah lebih menumpukan buat masa ini melihat kajian kebolehlaksanaan untuk mewujudkan semula laluan daripada Tanjung Aru-Sembulan ke Pelabuhan Sepanggar.

"Itu yang menjadi keutamaan kita dan seterusnya melihat secara lebih umum konsep rangkaian perjalanan keretapi daripada pantai barat kepada pantai timur tetapi itu semua bergantung kepada kajian kebolehlaksanaan dan skala ekonomi," katanya.

-- BERNAMA