Skip to main content

Malaysia

Sabah fail saman lebih RM2 bilion terhadap EY, bukti keterbukaan, tidak sembunyikan apa-apa - Masidi

KOTA KINABALU, 3 Dis -- Timbalan Ketua Menteri II yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun ketika sidang media selepas melapor diri di Pejabat Menteri Kewangan hari ini.  --fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
Masidi berkata kerajaan negeri serius dalam memastikan pengurusan kewangan negeri dilakukan dengan baik, selain memperkukuh budaya tadbir urus dalam pengurusan khazanah dan kewangan Sabah. - Gambar fail
Advertisement

KOTA KINABALU: Tindakan perundangan oleh kerajaan negeri dan Sabah Development Berhad (SDB) serta dua pihak lain terhadap sebuah firma audit mencerminkan keterbukaan kerajaan negeri dalam memastikan pengurusan kewangan dan dana Sabah dilaksanakan secara telus.

Timbalan Ketua Menteri II Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata kerajaan negeri serius dalam memastikan pengurusan kewangan negeri dilakukan dengan baik, selain memperkukuh budaya tadbir urus dalam pengurusan khazanah dan kewangan Sabah.

“Saya ingat eloklah kita serahkan proses mahkamah untuk menentukan. Bagi Sabah kita telah pun memfailkan kita tunggu proses mahkamah seterusnya, tapi apa yang pasti secara simboliknya ini menunjukkan keterbukaan Sabah, nothing to hide.

“Bagi SDB kita telah menyaman semua pemiutang tidak kira siapa, kita betul-betul serius untuk memastikan pengurusan kewangan dan dana negeri kita dibuat bukan sahaja dengan baik tapi dengan telus,” katanya pada sidang media Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026 di sini hari ini.

Masidi yang juga Menteri Kewangan Negeri Sabah berkata pendekatan itu diharap dapat mewujudkan budaya tadbir urus lebih baik dalam pengurusan aset dan kewangan negeri.

“Kita harapkan ini akan mewujudkan budaya governance (tadbir urus) yang lebih baik dalam kita mengurus khazanah dan juga kewangan negeri Sabah,” katanya.

Pada 7 Ogos lepas, Kerajaan Negeri Sabah dilaporkan telah memfailkan saman sivil melebihi RM2 bilion terhadap firma audit Ernst & Young PLT (EY) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung audit penyata kewangan SDB bagi tahun kewangan 2011 hingga 2022.

Tindakan undang-undang itu difailkan oleh Kerajaan Negeri Sabah, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Sabah Development Berhad dan SDB Corporation Sdn Bhd sebagai plaintif.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa EY melanggar kewajipan berjaga-jaga ketika menjalankan audit berkanun ke atas penyata kewangan Sabah Development Bank Berhad sehingga menyebabkan kedudukan kewangan sebenar bank pembangunan milik kerajaan negeri itu tidak dapat dikesan lebih awal.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement