Masih belum ada sebarang kata putus sama ada penggunaan logo atau bendera Perikatan Nasional (PN) akan digunakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Ketua Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor berkata, setakat ini, belum ada rundingan dilakukan berhubung perkara itu .

Beliau berkata, pihaknya bagaimanapun optimis perkara itu akan diselesaikan sekurang-kurangnya sebelum penamaan calon pada 12 September hadapan.

"Belum tahu lagi. Kami masih belum lagi berunding, sama ada menggunakan satu lambang, logo, bendera dan sebagainya," katanya.

Hajiji berkata demikian kepada media selepas merasmikan persidangan Bersatu Bahagian Tuaran, di Dewan Sri Sulaman, di sini, hari ini.

Terdahulu, penggunaan logo dan bendera di kalangan komponen mana-mana parti yang bakal bertanding telah menarik perhatian ramai selepas beberapa tokoh politik mendakwa mahu menggunakan lambang parti masing-masing.

BACA: Sabah Memilih: Pecah tradisi, UPKO bertanding guna logo sendiri

Terbaru, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi satu kenyataan di ibu negara baru-baru ini mahu PKR bertanding dalam PRN Sabah menggunakan lambang parti itu.

Sementara itu, mengulas mengenai persediaan PRN, Hajiji berkata, pihaknya mempunyai dasar autonomi tersendiri dalam pemilihan calon dan kerusi yang bakal dipertandingkan.

Namun, ulasnya, setiap pengagihan kerusi adalah tertakluk kepada hasil rundingan dengan rakan komponen PN yang terdiri daripada Barisan Nasional (BN), STAR, PBS dan lain-lain.

"Sudah tentu kita mempunyai autonomi, Bersatu Sabah mempunyai autonomi yang diberikan oleh Presiden (Tan Sri Muhyiddin Yassin).

"Apa yang penting, kita akan merujuk kepada beliau untuk sebarang nasihat, tetapi kira mempunyai autonomi dan kepentingan untuk menentukan cadangan siapa bakal bertanding dan di mana kita bertanding," katanya.

Untuk rekod, kempen PRN Sabah akan bermula selepas tarikh penamaan calon pada 12 September depan sebelum hari pengundian pada 26 September.