LAHAD DATU: Kerajaan Negeri Sabah memperkasa sektor agromakanan dengan melahirkan tenaga kerja berkemahiran menerusi bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selaras dengan hala tuju Pelan Tindakan Koridor Pembangunan Sabah (SDC) 2.0.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, langkah strategik itu penting bagi membina ekonomi berdaya saing, inklusif dan mampan melalui peningkatan produktiviti, peluasan penyertaan masyarakat serta pengurusan sumber secara bertanggungjawab.
“Sektor agromakanan mempunyai potensi besar untuk dikembangkan menerusi pertanian, penternakan, akuakultur dan pemprosesan makanan, namun memerlukan tenaga kerja mahir, teknologi bersesuaian serta hubungan kukuh dengan pasaran bagi menyokong keterjaminan makanan.
“Bagi menyokong usaha itu, sebanyak 80 peserta disasarkan memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 dalam lapan bidang pertanian dan agromakanan menerusi kaedah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) Penilaian Amali (PPA) di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK),” katanya, di sini, pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan SEDIA AgroFoodPakar sempena Karnival Agro TVET MADANI di Kolej Vokasional Lahad Datu (KVLD) di sini, dan teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib.
Program julung kali di KVLD itu dilaksanakan dalam tempoh dua hari berbanding laluan lazim sehingga 18 bulan, dengan kos penyertaan ditanggung sepenuhnya oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA).
Lapan bidang kemahiran berkenaan merangkumi penyeliaan ladang ruminan, operasi makmal bioteknologi agrikultur, penyeliaan akuakultur air tawar, operasi ladang poltri, jentera pertanian perladangan, penyeliaan pembinaan landskap, operasi pengeluaran tanaman serta pemprosesan makanan.
Selain persijilan kemahiran, Hajiji berkata, kerjasama SEDIA dan KVLD turut diperluas menerusi Program IPR-INTAN Tanaman Halia dengan sokongan Kementerian Ekonomi bagi memperkukuh keupayaan tempatan membasmi kemiskinan.
“Menerusi inisiatif itu, sebanyak 30 peserta golongan B40 disasarkan menjana pendapatan RM2,000 sebulan melalui penyediaan 1,000 benih halia bagi setiap individu untuk diusahakan di tapak seluas tiga ekar di KVLD,” katanya.
Pada majlis sama, inisiatif Program Penanaman Pokok Kelapa turut digerakkan di kawasan seluas 10 ekar di KVLD melibatkan penanaman 1,000 anak benih varieti pandan dan tacunan bertemakan “Seribu Kelapa, Satu Legasi”.
Inisiatif penanaman kelapa itu menyasarkan pengiktirafan Malaysia Book of Records bagi kategori penanaman anak benih kelapa terbanyak dalam satu acara, dengan 456 anak benih disumbangkan secara bersama oleh warga SEDIA dan KVLD manakala bakinya disediakan oleh SEDIA.
Hajiji berharap karnival berkenaan menjadi wadah mempertemukan institusi latihan, industri, agensi kerajaan dan masyarakat untuk berkongsi ilmu serta meneroka potensi kekayaan baharu yang mampu membuka peluang pekerjaan luas di luar bandar.
-- BERNAMA