Kapten Johor Darul Takzim, Safiq Rahim menepis tanggapan ada pemain yang menjadi anak emas dalam skuad Harimau Selatan itu.

Pada masa sama, tonggak senior kebangsaan ini menuntut lebih kerjasama daripada rakan sepasukan.

Kem Johor Darul Takzim sedikit tegang selepas pasukan itu kecundang satu-empat kepada Selangor dalam saingan Liga Super pada Sabtu lepas.

Ada laporan berlaku pertelingkahan di kalangan pemain yang menyalahkan beberapa rakan sepasukan berhubung aksi hambar pasukan.

Namun Safiq menafikan perkara berkenaan dan menyifatkan ia hanya luahan kekecewaan berikutan kekalahan yang dialami.

Penafian sama turut dibuat ketua jurulatih, Fandi Ahmad menerusi sebuah akhbar tempatan pada Selasa.

Kekalahan itu adalah yang kedua buat pasukan Johor Darul Takzim ini dengan menyaksikan mereka kini berada di tangga keempat liga.

Safiq kini berada dalam kem latihan skuad senior kebangsaan sebagai persiapan menghadapi perlawanan kelayakan Piala Asia 2015.