WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mendapati lima unit pasukan keselamatan Israel bertanggungjawab atas pencabulan hak asasi manusia, pada Isnin.

Jabatan Negara AS berkata, ia kali pertama Washington mencapai kesimpulan sedemikian mengenai tentera Israel.

Timbalan jurucakap Jabatan Negara, Vedant Patel berkata, insiden berkenaan berlaku di luar Gaza sebelum konflik tercetus antara Israel dan Hamas pada Oktober.

Kumpulan hak asasi manusia berkata, mereka telah melaporkan insiden yang melibatkan unit Israel termasuk pembunuhan di luar undang-undang, penyeksaan dan penderaan fizikal kepada Jabatan Negara.

Kebanyakan tindakan tidak berperikemanusiaan itu dilakukan terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat yang diduduki Israel.

Patel enggan menawarkan butiran khusus mengenai pelanggaran yang dilihat oleh pegawai AS, termasuk unit yang terlibat atau langkah pemulihan yang telah diambil.

Patel berkata, empat daripada unit itu telah membetulkan pelanggaran ini dengan berkesan.

Dalam kes unit kelima, Washington masih belum menentukan sama ada terdapat pemulihan yang mencukupi dan masih dalam perbincangan dengan Israel.

Unit kelima dipercayai Batalion Netzah Yehuda dari Angkatan Pertahanan Israel, yang menjadi punca kepada kematian Omar Assad, warga Palestin-AS berusia 78 tahun pada tahun 2022.

Tingkah laku ketenteraan Israel semakin mendapat perhatian yang meluas lantaran tindakan kejam mereka telah membunuh kira-kira 34,500 rakyat Palestin di Gaza.