Bekas timbalan menteri pengajian tinggi Datuk Saifuddin Abdullah telah dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif baru Yayasan Pergerakan Moderat Global.

Pengerusi yayasan itu, Tan Sri Razali Ismail dalam satu kenyataan berkata pelantikan itu dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Terkenal dengan pandangan progresifnya mengenai politik dan lantang dalam usahanya untuk membawa perubahan, trek rekodnya dalam memperjuangkan penambahbaikan demokrasi dan memperjuang pemerksaan belia, serta sejarah perkhidmatannya yang lama dalam masyarakat sivil, menjadikan beliau amat sesuai mengetuai yayasan dan membantu mengetengahkan agendanya bagi kesederhanaan," kata Razali.

Saifuddin seorang penulis prolifik, dengan pengalaman termasuk menulis kolum untuk Sinar Harian, fz.com, Oriental Daily, dan See Hua Daily Sarawak.

Yayasan ini berusaha menegakkan gerakan yang memupuk nilai dan rangkaian kesederhanaan kepada masyarakat dan berusaha melibatkan pemegang kepentingan menerusi advokasi, penglibatan, dan pembinaan kapasiti bagi menangani suasana yang wujud daripada ekstremisme seperti konflik, ketidakadilan dan kemiskinan.