PUTRAJAYA: Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah mencadangkan supaya Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) di masukkan dalam Pasukan Petugas Myanmar bagi menyelaras dan menyampaikan bantuan kemanusiaan ke negara itu.

Beliau berkata keanggotaan pasukan petugas itu perlu diperkukuhkan dengan penglibatan organisasi antarabangsa berpengalaman seperti ICRC untuk menjadikan kerja-kerja pasukan itu lebih bermakna dan telus.

Menurut beliau, walaupun Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan Bagi Pengurusan Bencana ASEAN (AHA Centre) turut terlibat dalam pasukan berkenaan, namun organisasi itu sendiri mengakui bahawa mereka kurang pengalaman menghantar bantuan ke tempat-tempat konflik seperti Myanmar.

"AHA centre ada pengalaman hantar bantuan ke tempat bencana seperti banjir dan gempa bumi, tetapi ini kawasan pertelingkahan melibatkan tembak menembak dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada sambutan 50 tahun Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) di Malaysia, di sini, hari ini.

Menjelas lanjut, Saifuddin berkata Pasukan Petugas Myanmar itu ditubuhkan susulan Mesyuarat Perundingan mengenai Bantuan Kemanusiaan ASEAN kepada Myanmar dipengerusikan Duta Khas Pengerusi ASEAN ke Myanmar Prak Sokhonn pada 6 Mei lepas.

"Ada dua proses, pertama adalah membuat penilaian tentang status semasa apa yang diperlukan dan siapa yang perlu bantuan dan diikuti dengan penyampaian bantuan," katanya.

Saifuddin berkata, satu sesi khas berkaitan status dan keadaan di Myanmar juga akan diadakan pada Ahad ini semasa Dialog Shangri-La di Singapura yang turut melibatkan Duta Khas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Myanmar Dr Noeleen Heyzer bagi membincangkan pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) mengenai krisis di negara itu.

5PC itu adalah: menamatkan keganasan; mengadakan perbincangan konstruktif dengan semua pihak berkepentingan; ASEAN menyediakan bantuan kemanusiaan kepada Myanmar; pelantikan duta khas ASEAN untuk melaksanakan rundingan; dan utusan khas terbabit dibenarkan melawat negara itu.

Sebelum ini, sebanyak 765 organisasi masyarakat di Myanmar dan antarabangsa mengeluarkan kenyataan menyuarakan kebimbangan mengenai pasukan petugas bagi menyelaras dan menyampaikan bantuan kemanusiaan itu yang diketuai oleh junta Myanmar dan menggesa semua pihak berkepentingan turut terlibat.

Bagaimanapun, pasukan itu memberi jaminan akan melakukan yang terbaik bagi memastikan bantuan kemanusiaan yang disediakan oleh ASEAN akan sampai kepada komuniti terjejas.

Sementara itu, dalam ucaptamanya, Saifuddin berkata sejak 50 tahun lepas, ICRC telah mengendalikan pelbagai latihan, kursus bina kapasiti, seminar meningkatkan keupayaan, wujudkan pakar-pakar tempatan dan tingkatkan kesedaran akan undang-undang kemanusiaan antarabangsa di Malaysia.

Beliau berkata Malaysia menghargai usaha berterusan yang ditunjukkan oleh ICRC dalam mencari kaedah-kaedah baharu untuk memperjuang dan perkukuh pelaksanaan serta promosi undang-undang kemanusiaan antarabangsa di negara ini.

"Saya juga gembira untuk mengetahui yang Wisma Putra dan Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) telah meningkatkan pembabitan bersama ICRC baru-baru ini, dengan memberi pendedahan kepada diplomat muda akan operasi global dan akan undang-undang kemanusiaan sebelum mereka ditugaskan di luar negara," katanya.

Menurut beliau lagi, ini mungkin sangat berguna di masa depan, kerana diplomat-diplomat Malaysia mungkin hadapi situasi kemanusiaan di luar negara atau terpaksa bergantung kepada kepakaran, jaringan serta sumber-sumber ICRC dalam situasi-situasi mencabar.

Turut hadir dalam acara hari ini ialah Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, yang juga merupakan pengerusi Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (MRCS); Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon; Pengarah Serantau ICRC bagi Asia dan Pasifik, Christine Cipolla; dan Ketua Delegasi Serantau ICRC di Kuala Lumpur, Biljana Milosevic.

-- BERNAMA