KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) meminta proses vaksinasi kepada penggiat seni dapat dipercepatkan bagi membolehkan mereka menjalani penggambaran di luar studio pada Fasa Dua Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah berkata kementerian akan mengemukakan permohonan berhubung isu itu kepada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) supaya penggiat seni yang terlibat dapat kembali kepada aktiviti penggambaran selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Saya tidak berhasrat untuk meminta pengecualian terhadap SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang mewajibkan mereka yang terbabit dalam penggambaran perlu melengkapkan dua dos vaksin kerana kita faham keperluan SOP itu.

"Saya yakin dengan proses vaksinasi yang semakin rancak sekarang, mereka (penggiat seni) akan dapat suntikan (vaksin) tidak lama lagi, bagaimanapun kami akan mohon kepada JKJAV agar dapat disegerakan vaksinasi kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas sesi ramah mesra secara maya dengan penerima Dana Kandungan Digital (DKD) bagi Filem, Program TV dan Mikro Prisma hari ini.

Baru-baru ini, kerajaan membenarkan produksi drama, iklan dan dokumentari yang ditangguhkan penggambaran sebelum ini untuk meneruskan penggambaran di luar studio pada Fasa Dua PPN dengan pematuhan ketat termasuklah wajib lengkap dua dos vaksin.

Saifuddin juga berharap pembikin filem tempatan menghasilkan banyak filem berunsur kenegaraan dan budaya negara termasuk menggunakan DKD bagi meningkatkan minat orang ramai kepada sejarah selain dijadikan alat bantuan mengajar di sekolah dan institut pengajian tinggi serta diketengahkan di peringkat antarabangsa untuk mencapai cita-cita Road to Oscar.

Beliau berkata negara mempunyai banyak filem kenegaraan yang bagus, antaranya Bukit Kepong, Kanang Anak Langkau, PASKAL serta Lee Chong Wei, dan ia membuktikan negara boleh menghasilkan filem-filem hebat dalam kategori filem kenegaraan.

"Kita tahu ada waktunya sesetengah filem yang bersifat sejarah ini mungkin tidak dapat meraih keuntungan yang besar, tidak seperti filem kategori lain tetapi sebab itulah wujudnya dana (DKD) ini untuk memberi sokongan kepada penggiat seni kerana filem seperti ini ada keperluannya," katanya.

Saifuddin turut mengumumkan takrifan baharu bagi kategori filem kenegaraan di bawah DKD iaitu filem cereka yang antaranya cerita kepada pembentukan semangat, perasaan, sikap, kesedaran serta ideologi cintakan diri, keluarga, bangsa dan negara berdaulat melalui nilai patriotisme, perpaduan, keamanan, kemasyarakatan, kesetiaan, pengorbanan serta budaya.

"Skopnya sama ada peristiwa atau sastera. Peristiwa merupakan pengkisahan sejarah negara yang diadaptasi atau diinspirasikan daripada perjuangan dan pengorbanan tokoh, masyarakat atau individu yang menyumbang kepada pembangunan nilai dan impak positif kepada nilai-nilai kenegaraan, ataupun adaptasi atau inspirasi peristiwa-peristiwa penting yang ikonik dalam lipatan sejarah.

"Sastera pula adalah adaptasi karya dan naskhah sastera seperti buku, novel atau cerpen yang berkualiti dan diiktiraf yang mengangkat nilai-nilai patriotisme, kemasyarakatan, kebudayaan, kepimpinan, perpaduan, pengorbanan dan cintakan tanah air," katanya.

Beliau berkata sekalipun negara berdepan ancaman COVID-19, KKMM dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sentiasa memberi sokongan dan galakan kepada produksi tempatan untuk terus berkarya dan menghasilkan lebih banyak filem berunsur identiti kenegaraan dan budaya tempatan.

-- BERNAMA