Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah menyambut baik kesediaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membuka keahlian parti itu kepada bukan Bumiputera.

Menurutnya, beliau optimis kemasukan bukan Bumiputera akan menyuntik kekuatan baharu kepada Perikatan Nasional (PN).

“Apabila kami dan kumpulan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyertai Bersatu, dalam kumpulan kami ada juga yang bukan Bumiputera. Takkanlah kami nak biarkan mereka bersendirian.

"Kami sangat berterima kasih apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden Bersatu sedia pertimbangkan kemasukan bukan Bumiputera,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program Pelancaran dan Demontrasi Secara Langsung Oryctes di Futurise Center, di sini, pada Selasa.

Tambah beliau, dengan adanya golongan bukan Bumiputera, ia akan menjadikan PN sebagai gabungan yang mempunyai pelbagai campuran, bukan dominan dengan satu kaum sahaja.

Baru-baru ini, Muhyiddin menegaskan Bersatu bersedia meminda perlembagaan untuk membolehkan ahli bersekutu yang terdiri daripada bukan Bumiputera.

Menerusi cadangan itu, beliau berkata, bukan Bumiputera kelak bukan sahaja boleh menjawat jawatan lebih tinggi, tetapi turut bersama memberi idea untuk memajukan parti.

Bagi merealisasikan aspirasi itu, Muhyiddin berkata satu jawatankuasa yang diketuai oleh Tan Sri Rais Yatim telah ditubuhkan untuk mengkaji perkara dan mengemukakan cadangan kepada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap di hadapan kira-kira 5,000 perwakilan Kongres Negara 2020 bertemakan Bersatu Untuk Malaysia, Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada Sabtu lepas.

Dalam majlis sama, Mohamed Azmin yang juga bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut mengumumkan dirinya dan sembilan lagi Ahli Parlimen menyertai Bersatu.

Selain Azmin, sembilan lagi Ahli Parlimen ialah Zuraida Kamaruddin (Ampang) dan Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Datuk Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal), Datuk Seri Rashid Hasnon (Batu Pahat), Ali Biju (Saratok) dan Willie Mongin (Puncak Borneo).