KUALA LUMPUR:Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof menafikan kononnya saiz pentadbiran kerajaan pada ketika ini dibuat berdasarkan pertimbangan politik.

Sebaliknya, kata beliau, saiz anggota pentadbiran kerajaan adalah dibuat berdasarkan keperluan semasa negara yang dilanda COVID-19.

Turut menjelaskan mengenai lantikan duta khas kata beliau, ia adalah bagi meningkatkan hubungan luar, ekonomi dan pembangunan projek-projek strategi.

"Pelantikan duta khas ini bukan untuk mengambil tugas yang telah dilaksanakan oleh Kementerian Luar tetapi sebagai tambahan bagi melengkapkan tugas-tugas dalam meningkatkan lagi peluang kepada negara," beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan peringkat jawatankusa JPM.

Soalan itu dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempersoalkan mengenai kewajaran tambahan peruntukkan sebanyak RM482 juta kepada JPM, iaitu meningkat sebanyak 10.7 peratus berbanding tahun lalu.

Ketua Pembangkang itu turut menyifatkan lantikan-lantikan politik seperti Duta Khas ke Asia Barat, China, Korea dan Taiwan, Jepun sebagai tidak releven ketika negara berdepan dengan COVID-19.

BACA: Ke mana duta-duta khas pergi dalam tempoh COVID-19 ini?, soal Anwar

Mengulas lanjut, Mohd Redzuan berkata, melihat pada struktur pentadbiran terdapat 60 agensi berbanding 56 agensi berbanding sebelum ini.

"Pakatan Harapan (PH) mempunyai 28 menteri Perikatan Nasional (PN), lebih empat sahaja, iaitu 32 menteri. Timbalan menteri PH ada 27 dan PN ada 37 timbalan menteri, tapi kementerian sudah bertambah iaitu daripada 25 kementerian dulu (PH) sekarang kita ada 27 kementerian," katanya. 

"Berkait soalan (Ahli Parlimen) Port Dickson, peruntukan hanya meningkat RM108 juta berbanding tahun lalu. Tiada pelantikan kakitangan kontrak lantikan politik menggunakan peruntukan ini," jelasnya.

Beliau berkata, peruntukan RM200 juta yang dibangkitkan itu sebenarnya  adalah untuk Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), pejabat mufti dan sebagainya.