SHAH ALAM: Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menunggu kebenaran daripada pihak berkuasa Thailand untuk mengekstradisi Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Sajat yang melarikan diri ke negara jiran itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, proses membawa pulang usahawan kosmetik itu tertakluk kepada maklum balas dari pihak berkuasa tempatan.

"Setakat ini masih tiada perkembangan dalam kes tersebut kerana permohonan ekstradisi bergantung kepada undang-undang negara Thailand. Jadi kami masih menunggu maklum balas daripada mereka," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Jumaat.

Sinar Harian pada 8 Oktober melaporkan pihak polis sudah menghantar permohonan kepada pihak berkuasa Thailand untuk mengekstradisi Sajat.

BACA: Polis sudah hantar permohonan ekstradisi Sajat kepada Thailand

BACA: 'Sajat, peluang untuk kamu bertaubat sentiasa terbuka' - Idris

BACA: Sajat di Bangkok, pegang kad pelarian UNHCR - Polis

Menurut laporan berkenaan, permohonan ekstradisi turut dihantar kepada Australia, negara di mana Sajat dilaporkan memohon kad pelarian Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

Sajat dikehendaki di negara ini kerana menghalang penjawat awam dan menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan tugas.

Satu waran tangkap turut dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 23 Februari lalu selepas usahawan kosmetik itu gagal menghadirkan diri pada sebutan semula kesnya.

ARTIKEL ASAL DISIARKAN DI SINAR HARIAN: Sajat masih menyorok di Thailand