KUALA LUMPUR: Saksi pertama Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) mengakui di Mahkamah Tinggi bahawa syarikat lain yang mengemukakan cadangan bagi pembangunan tanah strategik milik agensi itu di Jalan Semarak bukan dimiliki pemegang saham dan pengarah Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB), Abdul Rahman Soltan.
Pengakuan itu dibuat ketika pemeriksaan balas terhadap bekas anggota Lembaga Pengarah FELDA, Mohamed Ghouse Shajahan, 52, pada hari kedua perbicaraan saman sivil FELDA dan Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) terhadap 21 defendan, semalam.
Ketika disoal peguam Amrit Pal Singh, Mohamed Ghouse bersetuju bahawa syarikat-syarikat berkenaan dimiliki oleh individu yang berbeza.
Mohamed Ghouse sebelum itu memberitahu mahkamah bahawa terdapat empat syarikat yang mengemukakan cadangan kepada FELDA dan FIC berkaitan pembangunan tanah berkenaan.
Bagaimanapun, ketika ditanya sama ada syarikat-syarikat itu dimiliki Abdul Rahman, Mohamed Ghouse menjelaskan bahawa syarikat berkenaan bukan milik individu terbabit.
Beliau berkata terdapat beberapa hubungan antara syarikat-syarikat berkenaan dari segi pengarah dan pemegang saham, namun pemilikannya adalah oleh individu yang berbeza.
Hakim Datuk Dr Arik Sanusi Yeop Johari turut mendapatkan penjelasan daripada Mohamed Ghouse berhubung jumlah cadangan yang dikemukakan serta pihak yang berada di belakang syarikat-syarikat terbabit.
Mohamed Ghouse, yang berkhidmat sebagai anggota Lembaga Pengarah FELDA dari 26 Julai 2018 hingga 25 Julai 2023, turut ditanya mengenai proses mendapatkan cadangan bagi pembangunan tanah di Jalan Semarak.
Beliau berkata tidak mengetahui sama ada Lembaga Pengarah FELDA pernah menghubungi Abdul Rahman secara langsung untuk mengemukakan cadangan pembangunan tanah berkenaan.
Saman itu membabitkan FELDA dan FIC dengan 21 defendan berhubung projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC).
FELDA dan FIC memfailkan tindakan berkenaan pada 2019, manakala SPSB turut mengemukakan tuntutan balas berkaitan perjanjian pembangunan tersebut.
Dalam tuntutan balas itu, SPSB memohon supaya terma perjanjian pembangunan dihormati atau, sebagai alternatif, menuntut ganti rugi melebihi RM1 bilion daripada pihak-pihak berkaitan.
Dalam prosiding sama, Mohamed Ghouse memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak pernah menyoal siasat bekas anggota Lembaga Pengarah FELDA atau pihak SPSB dalam siasatan berkaitan projek KLVC di Jalan Semarak.
Sebaliknya, beliau berkata siasatan dibuat berdasarkan dokumen, keterangan beberapa pihak, laporan forensik Ernst & Young (EY) serta nasihat guaman yang diterima FELDA.
Dalam prosiding semalam, Mohamed Ghouse turut mengakui hanya seorang individu ditemu bual sepanjang siasatan yang dijalankannya, manakala keterangannya di mahkamah sebahagian besarnya berdasarkan laporan EY dan dokumen yang tersedia.
Perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diteruskan pada hari ini.