Salji dan hujan lebat ragut 61 nyawa di Afghanistan

Salji menyeliputi jalan-jalan di bandar Ghazni, barat daya Kabul pada Sabtu. Hujan dan salji lebat sejak tiga hari lalu telah mengorbankan serta mencederakan ramai penduduk di seluruh Afghanistan. - Gambar AP
ISLAMABAD: Salji dan hujan lebat di Afghanistan telah mengorbankan sekurang-kurangnya 61 orang dan mencederakan 110 yang lain, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik kenyataan Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMA) negara itu pada Sabtu.
Jurucakap NDMA, Mohammad Yousuf Hammad berkata, sebanyak 458 rumah musnah sepenuhnya atau sebahagiannya dalam tempoh tiga hari cuaca buruk itu, yang menjejaskan sekurang-kurangnya 360 keluarga selain laporan mengenai kehilangan ternakan.
Hammad berkata, angka itu adalah data awal dan menambah bahawa pasukan penilai masih meneruskan tinjauan di wilayah yang terjejas dan jumlah mangsa mungkin meningkat.
Dalam pengumuman berasingan, Kementerian Kerja Raya memaklumkan, Terowong Salang, laluan utama yang menghubungkan ibu negara Kabul dengan wilayah utara, telah ditutup kepada lalu lintas sejak tiga hari lepas akibat salji tebal. Terowong itu merupakan koridor penting bagi perdagangan dan pengangkutan antara wilayah berkenaan.
Ketua Meteorologi di Kementerian Pengangkutan dan Penerbangan, Mohammad Nasim Moradi memberitahu dpa, ramalan bagi tempoh dua hari akan datang menunjukkan salji dan hujan akan berterusan di beberapa bahagian di negara itu, dengan kemungkinan menyebabkan gangguan perjalanan lanjut serta penutupan jalan di kawasan pergunungan, termasuk Wilayah Salang.
Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) menyatakan, Afghanistan kekal sebagai satu daripada lokasi krisis kemanusiaan terbesar di dunia, dengan jutaan penduduk memerlukan bantuan berikutan pelbagai kejutan yang berlaku serentak termasuk cuaca ekstrem, kemarau, ketakjaminan makanan, kepulangan migran serta infrastruktur yang lemah.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


