KUALA LUMPUR: Empat saksi termasuk Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah akan memberi keterangan dalam perbicaraan kes saman fitnah difailkan baginda terhadap editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown dan dua lagi, yang dijadualkan bermula pada 16 Dis di Mahkamah Tinggi di sini.

Sultanah Nur Zahirah memfailkan saman itu berhubung kenyataan fitnah dalam buku 'The Sarawak Report-The Inside Story of the 1MDB Expose' dan menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta daripada setiap defendan.

Perkara itu dimaklumkan peguam Datuk Mohd Haaziq Pillay, yang mewakili Sultanah Nur Zahirah, ketika dihubungi Bernama selepas pengurusan kes di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Dr John Lee Kien How @ Mohd Johan Lee, yang berlangsung melalui sidang video hari ini.

"Tarikh perbicaraan sebelum ini yang bermula dari 11 hingga 14 Okt dilapangkan dan mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan baharu pada 16, 17, 20 dan 21 Dis. Lebih kurang empat saksi plaintif termasuk Sultanah Nur Zahirah akan memberi keterangan," kata beliau yang turut memaklumkan pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 10 Sept.

Peguam Mervyn Lai, yang mewakili Rewcastle-Brown, mengesahkan tarikh baharu perbicaraan kes saman itu.

Pada 24 Ogos lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Rewcastle-Brown atau Clare Louis Brown, penerbit Gerakbudaya Enterprise iaitu Chong Ton Sin dan pencetak Vinlin Press Sdn Bhd untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi yang mengecualikan Sultanah Nur Zahirah daripada memberi keterangan dalam saman fitnah baginda terhadap mereka.

Berikutan keputusan itu, Sultanah Nur Zahirah perlu memberi keterangan bagi membuktikan kes saman fitnah baginda terhadap ketiga-tiga defendan.

Pada 13 Dis 2019, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Sultanah Nur Zahirah mengikut Aturan 14A Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012, iaitu supaya kes itu diputuskan melalui isu undang-undang dan baginda dikecualikan daripada memberi keterangan.

Sultanah Nur Zahirah, yang memfailkan saman pada 21 Nov 2018, mendakwa kenyataan berbaur fitnah itu antara lain bermaksud baginda terlibat dalam amalan rasuah serta mencampuri urusan pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu selain menggunakan status baginda untuk mempengaruhi penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA), yang kemudian dikenali sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sultanah Nur Zahirah juga mendakwa kenyataan itu membawa maksud baginda telah membantu ahli perniagaan dalam buruan Jho Low atau Low Taek Jho menjadi penasihat TIA.

Dalam penyataan pembelaan, ketiga-tiga defendan menafikan ada membuat tuduhan bahawa plaintif terbabit dengan amalan rasuah.

Rewcastle Brown juga mendakwa Sarawak Report tidak pernah mencadangkan bahawa plaintif terlibat dalam konspirasi membabitkan Jho Low dan tidak pernah mencadangkan bahawa plaintif terlibat dalam pentadbiran kerajaan berkaitan urusan 1MDB. - BERNAMA